Najib boleh tarik sokongan sebelum keputusan kes mahkamah 8 Dis?

November 28, 2021 · Isu semasa

Tidak mustahil Datuk Seri Najib Razak juga boleh bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum keputusan rayuan kes mahkamahnya diputuskan pada 8 Disember nanti.

Untuk rekod, Mahkamah Rayuan mengekalkan tarikh 8 Disember ini kekal sebagai hari penentu berhubung rayuan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadap Najib membabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tidak banyak masa lagi dimiliki Najib dan tinggal kira-kira seminggu lebih sahaja lagi sebelum keputusan tersebut dimuktamadkan, ia bakal memberi banyak implikasi terhadap masa depan politik beliau.

Pelbagai andaian berlegar-legar dikalangan pemerhati politik, adakah Najib terlepas daripada hukuman atau hukumannya kekal?

Jika Najib didapati masih bersalah diperingkat Mahkamah Rayuan, ia pastinya akan menambah masalah kepada bekas Perdana Menteri tersebut dan jika terlepas daripada hukuman sekalipun pastinya beliau juga akan menjadi bahan serangan blok pembangkang.

Bagaimanapun dalam tempoh yang singkat ini juga pelbagai kemungkinan boleh berlaku, desas-desus dalam UMNO sendiri juga kedengaran apabila terdapat pemimpin dalam parti itu tidak menolak Najib juga boleh menarik sokongan terhadap kerajaan Ismail Sabri sama seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Tiada pilihan banyak dimiliki Najib jika mahu memastikan keputusan kes mahkamah menyebelahinya, jika sebelum ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri boleh dijatuhkannya inikan pula kerajaan Ismail Sabri yang memiliki majoriti yang goyah.

Jika langkah tersebut diambil, persepsi umum akan melihat Najib akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun, Najib tidak mudah mengaku kalah apabila masih mencuba mencari jalan lain menyelamatkan dirinya dan terbaharu peluang terhidang untuk mengubah landskap kes mahkamah dihadapinya dengan cuba mengheret suami bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Dr Tawfiq Ayman dalam kes SRC yang sedang dihadapinya.

Najib membuat laporan polis terhadap beberapa pihak yang didakwa sengaja menyembunyikan bukti material berkaitan transaksi wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Najib mendakwa, beliau dan barisan peguamnya tidak mengetahui terdapat transaksi pemulangan dana RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura dan disimpan syarikat milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau turut mendakwa seorang lagi saksi utama pendakwaan dalam kes SRC dihadapinya juga menerima lebih RM85 juta dana dikaitkan secara langsung dengan 1MDB.

Adakah ia satu kebetulan Najib membuat laporan polis tersebut dengan tarikh keputusan rayuan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya?

Najib cuba mendesak agar siasatan dibuka terhadap suami bekas Gabenor, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada ketika keputusan Mahkamah Rayuan bakal diumumkan tidak lama lagi, apakah motif disebalik langkah tersebut?

Namun, Najib yang dilihat sebagai pakar strategi dan bangga dengan popularitinya masih mempunyai jalan lain dan ia lebih radikal iaitu dengan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Jika Pilihan Raya Umum diadakan sekalipun, berkemungkinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpeluang menang besar sama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, jadi untuk apa Najib takut untuk menarik sokongan lagi.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan berdaulat negara, 1MDB.

Najib kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Berita berkaitan
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
1MDB: SPRM tak teruskan permohonan dapatkan dokumen dari peguam
December 5, 2023· Isu semasa
Popular
Ceroboh ruang udara: Malaysia kemuka bantahan, panggil Duta China
June 1, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Tiada diskaun cukai taksiran hartanah di KL tahun ini: DBKL
January 9, 2023
Rakaman sejam bahan bukti kes bekas ketua perisik Malaysia
April 6, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok