Najib boleh fail semakan jika rayuan ditolak tapi kena masuk penjara dulu

August 22, 2022 · Isu semasa

Semua mata akan tertumpu kepada Mahkamah Persekutuan esok (Selasa, 23 Ogos 2022) kerana ia masih belum dapat dipastikan sama ada peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik akan berpegang teguh kepada pendiriannya untuk tidak membuat sebarang penghujahan dalam rayuan terakhir bekas perdana menteri itu berhubung sabitan hukuman kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beberapa peguam kanan memberi pendapat masing-masing sekiranya Hisyam Teh kekal tidak membuat sebarang penghujahan seperti pendirian yang dimaklumkan minggu lepas.

Memetik Star, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata hujahan bertulis dan lisan yang difailkan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelim ini akan menjadi sebahagian daripada rekod mahkamah.

“Petisyen rayuan bersama dengan penghujahan terdahulu secara bertulis, hujahan lisan, sebarang penghujahan bertulis yang telah dibuat oleh peguam Najib sebelum ini di mahkamah serta apa sahaja yang peguam mungkin mahu kemukakan secara lisan pada Selasa adalah lebih daripada mencukupi, dan sah, untuk mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Haniff berkata jika pasukan peguam Najib memilih untuk tidak membuat hujahan, mahkamah kemudiannya boleh menamatkan perbicaraan dan meneruskan ke peringkat seterusnya, iaitu keputusannya.

Beliau berkata mahkamah tertinggi perlu memutuskan sama ada rayuan itu diterima atau ditolak.

Beliau berkata jika rayuan itu diterima, Najib akan menjadi “individu bebas” dan jika rayuan itu ditolak, sabitan Najib akan dikekalkan dan dia perlu menjalani hukumannya.

“Terdapat juga rayuan terhadap hukuman itu,” katanya, sambil menambah bahawa sekiranya rayuan terhadap sabitan ditolak, mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada hukuman itu perlu diubah.

“Walaupun pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan balas terhadap hukuman itu, mahkamah masih mempunyai kuasa bebas untuk itu, untuk menambah atau mengurangkan hukuman,” katanya lagi.

Haniff berkata Najib boleh memfailkan semakan tetapi dia perlu menjalani hukumannya terlebih dahulu.

Semakan itu, katanya, boleh difailkan pada hari yang sama dengan keputusan itu.

Haniff berkata Najib masih boleh melantik peguam lain untuk mewakilinya esok.

“Mereka (pasukan undang-undang baharu) mesti berada di sana (Mahkamah Persekutuan) pada Selasa dan memberitahu mahkamah bahawa ‘kami telah mengambil alih kes dan kami bersedia untuknya’,” katanya.

Laporan Star juga menyatakan bahawa ketika ditanya mengenai kemungkinan senario jika penghujahan tidak dibuat esok, peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata penghujahan itu kemudiannya akan dianggap sebagai tamat dan mahkamah tertinggi akan menangguhkan untuk perbincangan.

“Mereka (Mahkamah Persekutuan) boleh membuat keputusan pada hari yang sama atau bahkan dalam seminggu,” katanya.

Beliau berkata kemungkinan keputusan itu disampaikan pada hari yang sama tidak boleh ditolak.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi, Najib perlu mula menjalani hukumannya.

“Ia adalah penghujung jalan dari segi rayuan, tapi semakan boleh difailkan,” katanya.

Geethan juga menyatakan bahawa tiada jaminan boleh diberikan sementara menunggu semakan, sekali gus bermakna Najib perlu menjalani hukuman penjara terlebih dahulu.

Peguam kanan jenayah Datuk Dr Baljit Singh Sidhu pula berkata jika rayuan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, maka proses rayuan telah selesai.

“Permohonan semakan mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 boleh difailkan oleh sesiapa sahaja selepas proses rayuan tamat dan tiada had masa ditetapkan.

“Tidak perlu dikatakan (ada) kriteria ketat untuk dipenuhi bagi permohonan semakan,” katanya.

“Tiada jaminan diberikan untuk permohonan semakan atau sementara menunggu semakan. Tiada peruntukan sedemikian wujud dalam proses jenayah,” katanya.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bertanya kepada Hisyam Teh pada Jumaat lalu sama ada beliau akan membuat penghujahan atau tidak.

Tengku Maimun berkata sekiranya Hisyam Teh tidak bersedia untuk mengemukakan hujahannya secara bertulis, pihak pembelaan sentiasa boleh membuat hujahan lisan.

Bagaimanapun, Hisyam berkata beliau tidak akan membuat sebarang hujahan.

Terdahulu, panel lima hakim turut menafikan permohonan Hisyam Teh untuk menangguhkan rayuan kepada Khamis ini.

Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu menghadiri kes lain.

Permohonan itu ditolak mentah-mentah oleh panel lima hakim diketuai Tengku Maimun. Panel lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Nallini Pathmanathan; Mary Lim Thiam Suan; dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam rekod mahkamah, Hisyam Teh kekal sebagai peguam utama Najib, walaupun bekas perdana menteri itu memecat Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners daripada mewakilinya pada akhir minggu lepas.

Berita berkaitan
Permohonan Najib ke Parlimen ditolak Jabatan Penjara, kata peguam
October 3, 2022· Isu semasa
Perlu kebenaran penjara jika Najib mahu hadir ke Parlimen: Speaker
October 3, 2022· Politik
Mahkamah Tentera Myanmar hukum penjara tiga tahun ke atas Suu Kyi
September 29, 2022· Dunia
Pendakwaan mohon hukuman penjara ditambah 3 bulan terhadap Lokman
September 29, 2022· Isu semasa
Popular
Kes libat Syed Saddiq lebih berat daripada Rosmah, SRC: Pendakwaan
October 6, 2022
Kenyataan Istana Negara tak sebut pembubaran Parlimen
October 6, 2022
PM menghadap Agong 45 minit
October 6, 2022
UMNO nak PRU masa banjir, Agong tinjau persediaan banjir
October 6, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Guna 16.3% hasil negara bayar faedah hutang membimbangkan
8 jam lalu · Isu semasa
Kenyataan Istana Negara tak sebut pembubaran Parlimen
8 jam lalu · Isu semasa
Kutipan cukai individu 2021 jatuh RM11 bilion: Ketua Audit Negara
9 jam lalu · Isu semasa
Rakyat terbeban, harga barang naik lagi tapi UMNO galak nak PRU juga
9 jam lalu · Isu semasa
PM menghadap Agong 45 minit
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Menteri PN peduli rakyat, hantar petisyen tangguh PRU15
10 jam lalu
[VIDEO] Perkukuh ukhwah, tolak usaha pecah belahkan PN
18 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok