Najib boleh dapat pengampunan diraja tapi banyak lagi kes menunggu

August 24, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Najib Razak boleh menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha memohon pengampunan berhubung sabitan kesalahannya dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC), tetapi dia perlu menjalani hukuman bagi tempoh tertentu terlebih dahulu, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Abu Talib adalah seorang pendakwa raya pada penghujung 1970-an apabila bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris disabitkan kesalahan rasuah, serta Peguam Negara pada 1982 ketika bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim disabitkan dengan kesalahan membunuh Datuk Mohamad Taha Talib, Speaker Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan ketika itu.

Untuk rekod, Najib dilaporkan masih berdepan lebih 30 pertuduhan jenayah, termasuk kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB); meminda laporan akhir audit 1MDB; pecah amanah RM6.6 bilion; dan pengubahan wang haram RM27 juta SRC.

“Kedua-duanya (Harun dan Mokhtar) diberikan pengampunan hanya selepas menjalani hukuman penjara untuk beberapa lama,” kata Abu Talib dipetik portal berita FMT.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar dilaporkan bercakap lebih lanjut mengenai proses itu, dengan berkata: “Saya rasa Najib perlu menjalani (tempoh) masa yang agak lama sebelum dia boleh mendapat pengampunan kerana dia tidak mengemukakan faktor meringankan hukuman di hadapan Mahkamah Tertinggi.”

Syed Iskandar dilaporkan memetik kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diberi pengampunan diraja pada 2018 selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun kerana salah laku seksual terhadap seorang bekas pembantunya.

Beliau juga dilaporkan berkata Agong mesti bertindak atas nasihat – walaupun kuasa pengampunan terletak padanya – dan keputusan mana-mana lembaga pengampunan pada masa ini tidak boleh disemak oleh mahkamah.

Pengampunan diraja adalah di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan Agong atau Sultan kuasa untuk memberikan pengampunan atau penangguhan hukuman kepada banduan.

Semalam, Najib gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah Mahkamah Tinggi, yang menyaksikan Mahkamah Persekutuan memerintahkan beliau menjalani hukuman 12 tahun penjara berkuat kuasa serta-merta. Dia juga didenda RM210 juta.

Dia telah didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata penemuan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul dan hakim perbicaraan yang arif telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, menilai dengan betul semua keterangan berhubung dengan pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.

Beliau juga berkata Najib telah menunjukkan bagaimana pembelaannya tidak konsisten, tidak koheren dan tidak wajar dipercayai, seperti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Selepas menghabiskan satu jam di bilik mahkamah bersama keluarga, pembantu dan ahli parti, Najib dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Berita berkaitan
Keputusan kes saman LHDN terhadap Shafee tak bayar cukai pada 28 Sept
September 13, 2022· Isu semasa
Khairy sangkal dakwaan ubat diberi kepada Najib ditukar
September 13, 2022· Isu semasa
Najib keluar 46 cek RM10.3 juta pada 2011, pemimpin politik antara penerima: Saksi
September 12, 2022· Isu semasa
Najib sihat semasa dibenarkan keluar dari HKL, kata Dr Noor Hisham
September 12, 2022· Isu semasa
Popular
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
September 30, 2022
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
September 29, 2022
Kertas siasatan Hakim Mohd Nazlan selesai: SPRM
September 30, 2022
Krisis ekonomi global 2023?
October 1, 2022
Lagi Isu semasa terkini
2,007 kes semalam, 5 kematian
1 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi di Indonesia dirasai penduduk sekitar Lembah Klang
2 jam lalu · Isu semasa
Krisis ekonomi global 2023?
4 jam lalu · Isu semasa
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
15 jam lalu · Isu semasa
Terbitan MGII Lestari kerajaan RM4.5b terlebih langganan 2.38 kali
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
12 jam lalu
[VIDEO] 4 wilayah Ukraine jadi milik Rusia
12 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok