
Gambar Datuk Seri Najib Razak yang tular sehingga menyebabkan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' kepada bekas Perdana Menteri itu. - Gambar dari portal Mkini
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab ucapan ‘Selamat Pengantin Baru’ kepadanya oleh Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, malam tadi.
Sebaliknya, dalam kiriman terbaharunya Najib mengulas mengenai kenyataan dibuat pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang didakwa sebagai menghasut dan meminta polis mengambil tindakan.
Difahamkan Wan Ahmad Fayhsal membuat ucapan pengantin baharu itu susulan tersebar gambar Najib bersama seorang wanita dan keluarga di media sosial.
Beliau membuat ucapan itu dalam komen di Facebook Najib yang memuat naik statusnya bertemu Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.
“Selamat pengantin baru Datuk Seri!” tulis Wan Ahmad Fayhsal, yang mencetuskan perhatian ramai.
Setakat berita ini ditulis, komen itu mendapat 247 ulasan dan 562 tanda reaksi.
Menurut laman Wikipedia, Najib berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar pada 1976 dan dikurniakan tiga anak – Mohd Nizar, Mohd Nazifuddin, dan Puteri Norlisa.
Beliau bercerai dengan Tengku Puteri Zainah pada 1987 dan berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor – yang telah mempunyai dua anak iaitu Riza Aziz dan Azrene Soraya – sebelum mendapat dua lagi anak iaitu Mohd Norashman dan Nooryana Najwa.
Sementara itu, Mkini melaporkan dua tahun lalu, tersebar dakwaan bahawa Najib berkahwin dengan seorang wanita berusia 50 tahun.
Wanita itu menafikannya dan membuat laporan polis.
Semakan di laman Facebook Najib sehingga jam 6 petang ini mendapati bekas Perdana Menteri itu masih belum mengulas berhubung komen Wan Ahmad Fayhsal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bergambar bersama beliau sambil berpegangan tangan itu.