Naib Presiden UMNO nafi bincang bubar Parlimen, dakwa tak dijemput

Tiada sebarang perbincangan berhubung pembubaran Parlimen melibatkan Menteri UMNO seperti didakwa laporan media arus perdana, kata seorang Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir yang juga salah seorang Menteri Kabinet memberitahu tidak dijemput untuk menghadiri sebarang mesyuarat bagi membincangkan isu pembubaran Parlimen susulan laporan media yang membuat spekulasi berhubung satu pertemuan pagi tadi di Putrajaya.

“Bila ‘meeting’ (mesyuarat)? Tidak ada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen pun. Tak ada ‘meeting’ pun,” katanya dipetik laporan portal BH hari ini.

Dalam pada itu, seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Timbalan Menteri, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga menafikan wujud sebarang perbincangan berhubung isu tersebut.

“Saya tak tahu pun ada pertemuan membabitkan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO.

“Kalau ada sekali pun, mungkin saya tidak dipanggil untuk menyertainya,” katanya.

Awal hari ini, media membuat laporan kononnya satu mesyuarat dianjurkan bagi mengumpulkan Menteri UMNO untuk membincangkan isu pembubaran Parlimen.

Media awal pagi tadi melaporkan, terdapat pertemuan dengan Menteri-Menteri UMNO di Putrajaya di sebuah hotel, antara yang didapati menghadiri pertemuan itu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Terdahulu, Annuar mendakwa blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sudah melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, apabila meminta undi belah bahagian dijalankan bagi usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada hemat beliau, tindakan pembangkang itu menyebabkan MoU berkenaan terbatal.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan. Dan ini satu ‘blessing in disguise’, kerana YAB Perdana Menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut,” katanya.

Selain Annuar, veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz juga senada dengan pendirian rakan separtinya itu dengan mendakwa UMNO kini mempunyai alasan yang paling kuat untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan secepat mungkin.

Nazri menyifatkan kerajaan sekarang tidak lagi mempunyai asas untuk meneruskan pemerintahan sekarang.

“Faktanya, kita kalah usul. Jalan yang betul sekarang adalah kembali kepada rakyat, iaitu kita mempunyai alasan sekarang untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU).

“Ini bukan keputusan saya, ini keputusan parti saya. Kalau mereka fikir mereka harus kembali kepada rakyat untuk meminta pengundi memilih (kerajaan baru), itu hak mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR