Nahas maut: Polis tunggu ujian darah pemandu didakwa mabuk

Polis Melaka sedang menunggu laporan ujian darah pemandu yang terbabit dalam nahas di Jalan Klebang, Isnin lalu, yang menyebabkan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), maut.

Nahas membabitkan dua buah kereta dan tiga motosikal berlaku kira-kira jam 12.45 pagi Isnin lalu, tular di media sosial susulan ada pihak yang mendakwa pemandu Nissan Teana itu mabuk.

Dalam kejadian itu, Abdul Rahim Mohamad, 52, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya dirempuh Nissan Teana dari arah bertentangan.

Bagaimanapun tiga anaknya yang turut berada dalam kenderaan sama hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata pengesahan Jabatan Kimia berhubung dakwaan lelaki berusia 42 tahun itu mabuk ketika memandu diperlukan untuk melengkapkan siasatan.

“Siasatan awal polis mendapati pemandu Nissan Teana itu dari arah Limbongan menghala ke Klebang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dipandu mangsa.

“Selepas pertembungan itu, kenderaan mangsa telah berpusing sebanyak sekali dan melanggar tiga lagi motosikal yang berada di laluan itu,” katanya memetik laporan AstroAwani hari ini.

Kejadian yang mengorbankan mangsa yang juga Pengerusi Surau Beting itu tular di laman sosial apabila didakwa dirempuh pemandu mabuk ketika dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengambil anaknya pulang kerja.

Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, pemandu lelaki yang didakwa mabuk itu masih dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, pihak polis tidak menahan lelaki berkenaan sementara menunggu pengesahan ujian alkohol dan dadah di dalam darah oleh Jabatan Kimia.

“Sama ada pemandu itu mabuk atau tidak belum dapat dipastikan kerana ketika polis sampai ke lokasi kejadian, lelaki yang juga cedera dan patah kaki kanan itu telah dibawa ke Hospital Melaka.

“Memandangkan lelaki itu menerima rawatan di hospital, ujian darahnya telah dihantar ke Jabatan Kimia dan pihak polis masih menunggu keputusan itu,” katanya sembil menjelaskan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BERITA BERKAIT
POPULAR