
Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam nahas ketika lumba haram di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Parit Buntar, Perak, awal pagi tadi (15 Januari 2023).
Seorang pemuda berusia 20 tahun terbunuh serta-merta di tempat nahas, manakala lima lagi cedera dipercayai akibat lumba haram di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Parit Buntar, Perak, awal pagi tadi (15 Januari 2023).
Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan, manakala rakannya yang lain turut parah di beberapa bahagian badan dan kini dirawat di hospital Taiping dan Parit Buntar.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat berkaitan kejadian itu diterima pada jam 1.50 pagi membabitkan enam buah motosikal terlibat dalam kemalangan ketika berlumba.
Katanya, siasatan awal mendapati keenam-enam motosikal itu datang dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.
“Akibat kemalangan itu, seorang penunggang motosikal maut manakala lima rakannya berusia antara 16 hingga 26 tahun mengalami pelbagai kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Taiping dan Parit Buntar untuk rawatan lanjut,” katanya menurut Utusan.
Menurut beliau, mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 05-7210539 atau 013-6200564,” katanya.
Dalam pada itu Mohd. Yusri menasihati pengguna jalan raya terutama golongan remaja agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan lumba haram.
“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika disabitkan kesalahan,” katanya.