Nahas basikal lajak: Petisyen bebas Sam raih lebih 430,978 tandatangan

Satu petisyen mendesak supaya seorang kerani wanita, Sam Ke Ting yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun susulan kemalangan yang menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, dibebaskan dilancarkan sejak semalam semakin mendapat sambutan.

Petisyen yang dilancarkan oleh seorang individu dikenali sebagai Wan Junaida meletakkan sasaran awal untuk meraih 300,000 tandatangan, kini dinaikkan kepada 500,000. Sehingga jam 3.15 petang ini lebih 420,605 telah menandatangani petisyen di dalam change.org itu.

Menurut petisyen itu:

“Seperti yang dinyatakan oleh majistret Siti Hajar Ali dalam penghakimannya pada 2019, Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefonnya dan memakai tali pinggang keledar semasa memandu, membuktikan bahawa dia memandu dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati, tetapi keadaan gelap, jalan berbukit-bukau dan berliku-liku di mana pemandu tidak dapat menjangka akan ada geng basikal di jalan raya pada pukul 3 pagi.

“Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman baru Sam, di mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab, mangsa sebenar dalam kemalangan ini. Kegagalan keibubapaan ibu bapa bakal mat rempit yang membenarkan anak-anak mereka berkeliaran di jalan dengan basikal yang diubah suai, atau “basikal lajak” pada pukul 3 pagi.

“Kami tidak menerima penghakiman ini, dan menyeru hukumannya dibatalkan, supaya tidak merompak masa depan cerah seorang warganegara Malaysia yang muda dan tidak bersalah.

“Sam Ke Ting bukanlah punca kemalangan ini. Puncanya ialah 16 bakal mat rempit dan ibu bapa mereka.”

Semalam, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Sam dipenjara enam tahundan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak, kira-kira lima tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata mahkamah mengambil kira hujahan pihak berkaitan serta mempertimbangkan pelbagai faktor, dan dalam menjatuhkan hukuman, kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.

“Perbuatan responden memandu secara melulu atau berbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan dilakukan responden adalah kesalahan berat,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR