MySejahtera tak lagi kuning jika jadi kontak kasual pesakit Covid-19

Status MySejahtera tidak lagi bertukar kuning sekiranya mana-mana individu menjadi kontak kasual kepada mereka yang positif Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata individu terbabit sebaliknya hanya akan menerima pemakluman bahawa mereka adalah kontak kasual kepada pesakit Covid-19.

“Sebelum ini apabila MySJ Trace/Check-in mengesan anda sebagai Kontak Kasual kes +ve, status di MySj akan bertukar kepada Kontak Kasual (kuning).

“Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri & lakukan ujian kendiri,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Khairy turut memuat naik poster mengenai langkah meningkatkan penilaian kendiri Covid-19 Kementerian Kesihatan: Tingkatkan Penilaian Kendiri Covid-19 merangkumi lima peringkat iaitu Test; Report; Isolate; Inform; dan Seek.

Bagi Test, orang ramai digesa segera melakukan ujian saringan Covid-19 secara kendiri sekiranya mengalami simptom jangkitan seperti selesema, demam, batuk dan lain-lain.

Manakala bagi Report pula, orang ramai digesa melaporkan keputusan saringan secepat mungkin di aplikasi MySejahtera, dan untuk Isolate, mereka yang positif perlu melakukan pengasingan kendiri dengan segera, berdisiplin, selain mematuhi perintah Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi Inform pula, orang ramai perlu segera memaklumkan kepada kontak rapat sekiranya ujian Covid-19 didapati positif, dan kepada pihak berwajib berhampiran sekiranya kesihatan diri semakin merosot ketika menjalani kuarantin kendiri.

Sementara Seek pula, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran jika mengalami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan yang tinggi.

BERITA BERKAIT
POPULAR