MySejahtera Rosmah jingga, kes rasuah ditangguh dua hari

Perbicaraan kes rasuah Datik Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, berkaitan pembekalan projek solar hibrid kepada 369 sekolah di luar bandar di Sarawak, ditangguhkan setelah menjadi kontak rapat kepada kes Covid-19.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang turut melapangkan perbicaraan yang dijadualkan esok setelah peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memberitahu mahkamah bahawa status MySejahtera anak guamnya berwarna jingga.

“Anak guam saya hadir hari ini dan kami menyuruh beliau tunggu di dalam kereta sama ada Yang Arif mahu meneruskan prosiding atau melapangkan perbicaraan. Status MySejahtera suami beliau (Datuk Seri Najib Razak) adalah merah,” kata peguam itu.

Memetik Bernama, Jagjit bagaimanapun berkata beliau tidak tahu status MySejahtera Datuk Seri Najib Razak berwarna merah atau tidak.

Hakim berkata warna merah bermakna individu terlibat didapati positif Covid-19, namun peguam menjawab beliau tidak pasti.

Hakim Mohamed Zaini berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah itu hanya individu mempunyai paparan status MySejahtera berwarna biru dibenarkan masuk manakala individu yang menjadi kontak rapat atau kasual, tidak dibenarkan.

“Walaupun saya menegaskan beliau (Rosmah) untuk masuk ke dalam bangunan, namun pihak keselamatan di tingkat bawah tidak akan membenarkan beliau masuk, jadi mereka boleh membantah keputusan saya. Ini adalah peraturan ketat yang saya perlu patuhi. Jadi, saya akan melapangkan persidangan hari ini dan esok,” kata hakim itu.

Beliau turut mengarahkan peguam bela supaya menyemak dan mengemas kini status MySejahtera Rosmah kerana perbicaraan perlu diteruskan pada Jumaat ini.

“Ini tanggungjawab yang perlu anda pikul… anda perlu memastikan anak guam anda mengemas kini status MySejahtera beliau dan memaklumkan kepada mahkamah mengenai sebarang perkembangan terkini. Jika statusnya biru (berisiko rendah), kami akan meneruskan perbicaraan pada Jumaat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, beliau telah dimaklumkan oleh peguam bela bahawa Rosmah telah menjadi kontak rapat dengan individu yang menghidap Covid-19.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada Yang Arif kerana kami bersedia untuk meneruskan pemeriksaan balas ke atas Rosmah, tetapi bergantung kepada keputusan Yang Arif,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini turut meminta pihak pembelaan menjelaskan kepada mahkamah mengenai alasan Rosmah gagal pulang ke tanah air selepas lawatannya ke Singapura pada 21 November sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah pada Oktober lepas.

“Daripada berita yang saya baca di akhbar, mengikut perintah yang saya keluarkan pada 15 Oktober 2021, adakah anda ingin menjelaskannya? Kerana menurut arahan yang saya berikan itu, anak guam anda sepatutnya pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November, dan berdasarkan apa yang saya baca di akhbar beliau tidak kembali pada tarikh tersebut.

“Tetapi perkara itu bagi saya, ia hanya khabar angin, saya ingin mendengar daripada anda sendiri Datuk Jagjit,” kata hakim itu.

Jagjit menjelaskan bahawa terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya itu susulan perubahan pada peraturan kuarantin di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang baharu antara Malaysia dan Singapura dan beliau mewakili Rosmah memohon maaf kepada mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini berkata perintah mahkamah itu mesti dipatuhi pada setiap masa.

“Saya faham mengenai perubahan dasar kerajaan… bagaimanapun, perintah saya tidak berubah. Perintah itu tidak dikeluarkan jika kami membenarkan ia dilanggar. Anda sebagai peguam, sekurang-kurangnya selama 30 hingga 40 tahun…anda sepatutnya lebih arif,” kata hakim.

Pada 15 Oktober lalu, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan Rosmah untuk memulangkan sementara pasportnya bagi membolehkannya ke Singapura untuk melawat anak sulungnya, Nooryana Najwa, yang melahirkan anak keduanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata Rosmah mesti pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 November dan pasport beliau mesti dikembalikan ke mahkamah sebelum atau pada 6 Disember 2021.

Rosmah, 69, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

BERITA BERKAIT
POPULAR