MySejahtera kuning tapi Najib boleh duduk dalam kandang tertuduh

Datuk Seri Najib Razak dibenar duduk di kandang tertuduh bagi meneruskan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini walaupun status MySejahteranya masih berwarna kuning.

Bekas Perdana Menteri (PM) keenam itu dibenarkan hadir pada sambungan kes perbicaraannya berkaitan rasuah menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, walaupun masih diklasifikasikan sebagai kontak kasual dalam aplikasi MySejahtera.

Najib, 68, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Memetik laporan MalaysiaKini, Najib dilihat berada di kandang tertuduh ketika perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Laporan itu menyebut peguam Najib, Hariharan Tara Singh memberitahu Sequerah bahawa kehadiran bekas PM itu hari ini tidak melanggar peraturan yang digariskan pihak berkuasa dan mahkamah.

“Kami ingin menyatakan yang dia (Najib) tidak menyalahi peraturan kerajaan dan arahan mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Mustaffa P Kunyalam yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan status Najib dalam MySejahtera masih berwarna kuning, setakat pag ini.

Prosiding diteruskan dengan Hariharan memeriksa balas saksi pendakwaan, Ismee Ismail, yang merupakan bekas ahli lembaga pengarah 1MDB.

Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mahkamah yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan yang berkuat kuasa 7 Januari lalu, tidak menyatakan secara khusus individu yang diklasifikasikan sebagai kontak kasual dilarang masuk ke kawasan mahkamah.

SOP itu hanya menyatakan larangan masuk terhadap mereka yang menunjukkan gejala Covid-19 seperti demam, batuk dan sukar bernafas, menjadi kontak rapat kes positif, serta dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI)/Individu Dalam Pemantauan (PUS), serta mereka yang sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Pada Isnin dan Selasa lalu, Najib dilarang masuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ekoran status jingga dalam MySejahtera, menyebabkan perbicaraan kes tersebut ditangguhkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR