
Harga ayam di Pulau Pinang dilaporkan terus meningkat.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyelesaikan siasatan ke atas 20 pembekal utama ayam di negara ini di tengah-tengah dakwaan wujud peranan ‘kartel’ menyebabkan harga haiwan itu meningkat di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata beliau tidak boleh mendedahkan penemuan siasatan itu kerana ia di luar bidang kuasanya.
“Saya telah diberitahu bahawa MyCC telah menyelesaikan siasatan mereka ke atas dakwaan kewujudan kartel dalam pengeluaran ayam di Malaysia.
“Tetapi memandangkan mereka adalah suruhanjaya, saya tidak boleh mendedahkan hasil siasatan mereka,” kata Nanta menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Jadi tolong jangan risau kerana saya telah diberitahu mereka akan mendedahkan semuanya sebaik sahaja mereka memperhalusi prosedur operasi standard mereka dan selepas itu mereka akan mendedahkan apa yang mereka dapati daripada siasatan kepada orang ramai,” tambahnya.
April laly, MYCC berkata mereka sedang menyiasat campur tangan politik dalam isu operasi kartel dalam industri ayam.
Pada masa itu, Nanta berkata suruhanjaya itu memerlukan laporan terperinci mengenai dakwaan berkenaan untuk menentukan kesahihannya.
MyCC kemudian menjelaskan bahawa suruhanjaya itu tidak menyiasat ahli politik tertentu berkaitan dengan operasi kartel dalam industri ayam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Iskandar Ismail berkata siasatan yang sedang dijalankan hanya tertumpu kepada sekumpulan pemain industri ayam yang tindakan mereka dilihat menimbulkan kebimbangan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
Harga runcit ayam dan telur telah meningkat pada tahun ini.