Muslimat PAS bidas kerajaan PKR Selangor main-main nyawa rakyat

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam membidas kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kerajaan PKR Selangor dilihat seolah-olah tidak menghargai nyawa rakyatnya apabila membandingkan peratusan populasi penduduknya dengan negeri lain berikutan isu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang mungkin dilaksanakan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata tindakan membandingkan jumlah jangkitan dengan peratusan populasi penduduk di negeri berkenaan adalah keputusan yang tidak cermat.

“Setiap nyawa adalah penting tidak kira daripada populasi yang tinggi ataupun rendah.

“Malah, di kawasan populasi yang tinggi seperti Selangor, lagi membimbangkan kerana kadar jangkitan dan penularan yang tinggi dan cepat.

“Seorang penduduk di Selangor yang dijangkiti, berpotensi untuk menjangkiti ribuan orang yang lain,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai isu itu.

Kelmarin, Dr Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan berkata pasukannya dan kerajaan Selangor berada dalam tahap baik menguruskan wabak Covid-19.

“Selangor bukanlah paling parah kes Covid-19 kerana negeri ini menduduki tempat keempat selepas Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak dari segi nisbah penduduk,” kata Dr Dzulkefly.

Namun, kenyataan beliau bertentangan dengan laporan kes harian jangkitan Covid-19 yang menunjukkan Selangor terus mendahului negeri-negeri lain di Malaysia berkaitan jumlah kes.

Malah semalam, daripada 6,806 kes positif di seluruh negara, Selangor mencatatkan 2,277 kes baharu.

Memetik laporan Harakahdaily, Dr Rosni juga berkata kenyataan yang dibuat antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung pelaksanaan PKP penuh di Selangor juga menunjukkan kerajaan negeri itu tidak selaras.

Katanya, wujud percanggahan fakta yang diberi beberapa pemimpin parti itu berhubung pelaksanaan ‘lockdown’ kurang daripada sejam.

Beliau berkata, fakta yang dikemukakan Dr Dzulkefly dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, hanya sebagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka yang mendakwa pelaksanaan PKP yang lebih ketat akan memberi kesan buruk kepada negeri dan rakyatnya.

 

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021