
Teka-teki pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) terjawab apabila Tun Juhar Mahiruddin diumumkan dilantik semula sebagai ketua negeri itu semula hari ini.
Walaupun terdapat spekulasi mengatakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bakal dilantik sebagai TYT namun nampaknya ia tidak menjadi kenyataan.
Tun Juhar hari ini menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini.
Lantikan penggal keempat bagi Juhar sebagai TYT itu adalah dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun sejak pelantikan pada 1 Januari 2011.
Juhar, 69, dilantik sebagai TYT Sabah ke-10 pada 1 Januari 2011 bagi menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember 2018 meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan TYT Sabah yang sebelum itu dihadkan kepada dua penggal.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England, Juhar pernah menyandang jawatan selaku Speaker DUN Sabah pada 2002 hingga 2010 dan juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.