
Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula esok (20 Februari 2023) hingga 15 Mac 2023. - Gambar hiasan
30.1 peratus daripada 2.53 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara sudah diberikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.
Daripada jumlah itu juga, 4.4 peratus murid sudah lengkap disuntik dua dos yang dilaksanakan di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, sekolah, institusi pengajian tinggi, klinik kerajaan dan balai polis.
“Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama, begitu juga 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid berusia 12 hingga 15 tahun.
“Secara keseluruhan, program pemberian vaksin membabitkan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar serta mendapat sambutan baik daripada ibu bapa,” kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon lapor Bernama.
Beliau terdahulu melawat PPV Encore Melaka sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar hari ini.
Turut bersama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong, dan Pengarah Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad.
Mengulas lanjut, Hang Soon memaklumkan di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun, dan 11.5 peratus daripada 51,284 murid berumur 12 hingga 15 tahun, telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam membabitkan 76 sekolah menengah.
Beliau berkata, pihaknya melalui jabatan pendidikan negeri (JPN) sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa supaya memberi kebenaran untuk anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Kita masih pada peringkat awal pelaksanaan PICK Remaja. Kita sedang memantau pelaksanaan program ini untuk melihat usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai murid menerima vaksin,” katanya.