
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di Malaysia yang akan menyambut 1 Ramadan 1444, esok (Khamis, 23 Mac 2023).
Perikatan Nasional (PN) mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di mana sahaja berada, khususnya di Malaysia, yang akan menyambut 1 Ramadan 1444H, esok (Khamis, 23 Mac 2023).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berharap dan mendoakan semua umat Islam berada dalam keadaan sihat untuk menjalani ibadah puasa.
“Allhamdulillah dengan izin Allah SWT kita bertemu kembali dengan Ramadan Al Mubarak, bulan penuh keberkatan dan cukup istimewa bagi umat Islam.
“Malam ini kita akan mula bersolat sunat tarawih dan sepanjang Ramadan kita dituntut melakukan amalan-amalan sunat lain seperti bertadarus dan tadabur al-Quran, bersedekah serta menyantuni golongan yang tidak bernasib baik.
“Ramadan merupakan bulan terbaik bagi kita untuk memperbaiki diri dengan memperbanyakkan amalan bagi mendapatkan keampunan daripada Allah SWT.
“Janganlah sesekali kita lepaskan peluang ini kerana segala amalan kita di bulan mulia ini akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu serta Ahli Parlimen Pagoh mengajak umat Islam memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah, serta merapatkan silaturahim serta ukhuwah bersama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
“Bagaimana persediaan saudara-saudari menyambut bulan puasa kali ini? Saya pasti ramai yang merindui kenangan manis berbuka bersama keluarga, menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid atau di surau dan bangun bersahur bersama ahli keluarga.
“Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak daripada saya dan keluarga. Saya doakan anda semua diberi kesihatan untuk menjalani ibadah puasa dan segala amalan kita diterima Allah SWT, insya-Allah,” katanya.