Muhyiddin tak pernah duduki Seri Perdana, perabot diambil Najib

Kerajaan membeli perabot baharu untuk kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia – Seri Perdana – setelah perabot sedia ada dibawa keluar oleh bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika menjelaskan berhubung kerja baik pulih Kompleks Seri Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencadangkan perabot baharu dibeli kerana kebanyakan aset di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar.

Muhyiddin juga memaklumkan tidak pernah menduduki kediaman rasmi itu sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri bermula 1 Mac 2020 sehingga meletak jawatan pada 16 Ogos 2021.

“Saya ingin memberikan penjelasan berhubung kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri.

“Ketika saya mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, saya telah menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata antara kerosakan dialami Seri Perdana membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang.

Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan, katanya.

Menurutnya beliau dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang.

“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata disebabkan kompleks Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.

“Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi. Keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat,” katanya.

Muhyiddin berkata sebuah pasukan khas dianggotai pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan JPM memantau kerja baik pulih itu bagi memastikan ianya mengikut spesifikasi ditetapkan dengan hasil yang berkualiti.

“Saya percaya Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

Kompleks Seri Perdana yang dibina pada tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999, adalah kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri Malaysia.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menjelaskan susulan usia Kompleks Seri Perdana telah mencecah 22 tahun, dan mengalami banyak kerosakan, Jabatan Kerja Raya telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta.

BERITA BERKAIT
POPULAR