
Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas pemergiannya malam tadi.
Muhyiddin menyifatkan jasa Allahyarham kepada negara sangat besar, khususnya dalam pembangunan ekonomi bumiputera dan dunia korporat.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia malam tadi.
“Secara peribadi saya mengenali Allahyarham sebagai tokoh korporat tersohor tanah air ketika Allahyarham mengetuai PNB Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad sebelum menceburi diri dalam bidang politik.
“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham dalam dunia korporat khususnya bagi pembangunan ekonomi bumiputera amat besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin juga mendoakan agar ahli keluarga Khalid bertabah dalam menghadapi saat sedih ketika ini.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Saya juga berdoa semoga ahli keluarga Allahyarham bersabar menghadapi saat-saat yang mendukacitakan ini. Al Fatihah,” katanya lagi.
Allahyarham Khalid pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dari 2008 hingga 2018, serta memegang jawatan Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014.
Khalid meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan pada injap jantung.