
Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa sejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan telah wujud satu konspirasi melalui tohmahan palsu dan fitnah jahat.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan untuk mencabar pembekuan akaun Bersatu dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di sini secara dalam talian pada jam 8 malam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Menurut afidavit yang difailkan, Muhyiddin selaku pemohon kedua mendakwa sejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan telah wujud satu konspirasi melalui tohmahan palsu dan fitnah jahat telah disebarkan demi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam dan menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dan parti tersebut.
Muhyiddin juga mendakwa larangan perjalanan yang dikenakan Jabatan Imigresen dilakukan untuk mencemar nama baiknya seolah-olah beliau telah melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.
“Sekatan perjalanan dikenakan kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim bimbang Muhyiddin akan bercakap mengenai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia di forum antarabangsa,” katanya dalam permohonan itu.
Sekatan perjalanan itu juga melanggar hak Muhyiddin bawah Perlembagaan Persekutuan, kata permohonan itu. Muhyiddin dijangka berucap dalam satu forum antarabangsa.
Sebelum ini Bersatu memfailkan tindakan undang-undang terhadap keputusan SPRM membekukan akaun bank parti itu.
Bersatu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun banknya dilakukan dengan niat jahat.
Hari ini (Khamis, 9 Mac 2023), Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dipanggil sekali lagi ke Ibu Pejabat SPRM.
Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini jam 11.15 tadi bagi memberi keterangan kepada SPRM dipercayai berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) ketika Covid-19 melanda negara.
Ratusan penyokong Bersatu dan PN berkumpul di hadapan Ibu Pejabat SPRM melaungkan ‘Hidup Rakyat’ sebagai tanda sokongan kepada Muhyiddin.
Terdahulu, beliau dikatakan akan ditahan oleh SPRM pagi ini dalam apa yang dikatakan penahanan dan pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan balas dendam oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
‘Hidup Rakyat’ terus bergema sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan PH-BN yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.