Muhyiddin doakan Malaysia diberi kekuatan tempuh cabaran, lebih maju

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan semoga Malaysia dirahmati, manakala rakyatnya pula menjadi satu bangsa yang berjaya dalam sebuah negara yang lebih maju.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu itu mengajak rakyat Malaysia memperingati sejarah lampau, terutama perjuangan pengasas-pengasas negara ini untuk dijadikan semangat menempuh cabaran lebih hebat.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia. Hari yang amat penting dalam sejarah negara kita.

“Hari di waktu mana kita meraikan sambutan kemerdekaan negara kita daripada penjajah,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2021 yang disiarkan menerusi Facebook beliau malam ini.

Muhyiddin berkata mudah-mudahan dengan menperingati perjuangan pengasas-pengasas negara ini akan membina semangat dan kekuatan untuk menempuh cabaran besar sekarang, khususnya dalam berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Insya-Allah dengan berkat kerjasama kita semua, dengan semangat merdeka yang ada dalam jiwa setiap rakyat Malaysia maka saya berdoa mudah-mudahan negara kita akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan berjaya pada masa-masa akan datang.

“Ya Allah Kau rahmatilah negara ini, Kau berikan kami kekuatan untuk terus maju sebagai satu bangsa yang berjaya. Merdeka… merdeka… merdeka,” kata Muhyiddin.

BERITA BERKAIT
POPULAR