[KEMAS KINI] Muhyiddin dilantik PM sementara atau ‘caretaker’

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perkenan baginda untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoritiu Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Dalam kenyataan hari ini Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa hari ini.

“Susulan daripada perletakan jawatan ini, Seri Paduka baginda telah berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong selama 30 minit mulai jam 12.30 tengah hari tadi.

Menurutnya, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atasi khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong turut menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa sehingga 10 Ogos 2021 terdapat 484 kawasan daripada 613 Dewan Undangan Negeri, diletakkan di bawah zon merah Covid-19.

Pada masa sama baginda juga mengambil maklum mengenai kemudiaan kesihatan negara yang berada pada situasi membimbangkan susulan pandemik Covid-10.

Sehubungan itu, baginda berpendapat pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Selain itu Yang di-Pertuan Agong berharap kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan sehingga mengganggu kelancaran tadbir urus negara diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” kata kenyataan itu.

Terdahulu baginda juga berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; dan Abdul Ghani di Istana Negara pagi tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR