Muhyiddin baham Najib dalam Parlimen

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas sikap Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan bantuan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bernilai ratusan bilion ringgit kepada rakyat, sebagai membazir.

Beliau sebaliknya berkata, ketika Najib menjadi Perdana Menteri, puluhan bilion duit rakyat yang lesap begitu sahaja tidak pula dikatakan membazir.

“Saya sebenarnya hairan dengan sikap Pekan. Apabila saya sebagai Perdana Menteri menyalurkan bantuan bernilai ratusan billion ringgit kepada rakyat dan perniagaan di kala susah dikatakan membazir.

“Tetapi ketika dia menjadi Perdana Menteri, puluhan billion duit rakyat lesap begitu sahaja tidak pula dikatakan membazir. Mungkin kerana dia mendapat untung, tidaklah membazir bagi dia,” katanya membahas Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata hakikatnya, dunia semasa dan pasca-pandemik memerlukan negara-negara, termasuk Malaysia, mengambil langkah luar biasa.

Kerajaan PN pada ketika itu, katanya berusaha memastikan perniagaan dapat terus berjalan, gaji dan upah pekerja tidak terhenti dan makanan berada di atas meja untuk keluarga yang terjejas.

Beliau menjelaskan bahawa semua perutukan wang untuk rakyat itu tidak dimasukkan ke dalam akaun.

“Peruntukan yang besar tersebut tidak masuk dalam akaun peribadi saya,” katanya dipercayai mengingatkan kepada semua mengenai RM42 juta wang SRC International masuk ke dalam akaun Najib.

Menurutnya, peruntukan itu digunakan untuk kepentingan rakyat yang benar-benar terkesan akibat pandemik, selain bagi pembelian vaksin, bantuan tunai terus ke akaun rakyat, pembukaan pusat-pusat kuarantin dan PPV – semuanya untuk rakyat.

“Di mana yang saya membazir? Kesemua wang yang diperuntukkan itu adalah bagi membantu rakyat dan negara menjana pendapatan yang menyumbang kepada kesan berganda ekonomi.

“Oleh sebab itu, sejumlah peruntukan yang besar telah dibelanjakan secara telus dan bersasar bagi maksud pemberian pelbagai bentuk insentif dan bantuan kepada rakyat dan perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) dan industri yang amat terkesan sepanjang dua tahun suram yang turut dirasai di seluruh dunia akibat pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata dakwaan Najib pada 2 Mac lalu di Dewan Rakyat berkenaan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak dibayar menggunakan wang rakyat, juga adalah satu kenyataan tidak benar dan mengelirukan

“Saya hairan Pekan sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa bahawa hutang-hutang 1MDB adalah dijamin oleh Kerajaan.

“Apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutang termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini,” katanya.

Muhyiddin juga memetik penjelasan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 3 Mac bahawa setakat akhir Februari 2022, jumlah hutang 1MDB yang masih perlu dibayar adalah bernilai RM38.8 billion, merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah hutang.

Katanya Menteri Kewangan pada Januari lalu turut memaklumkan, bahawa kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini.

“Maknanya, ini duit rakyatlah. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Pekan ialah, oleh kerana kerajaan telah berjaya merampas semula sebahagian wang dan aset 1MDB yang telah dicuri, maka gunalah wang dan aset itu untuk membayar balik hutang 1MDB,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan beberapa aset yang berjaya dirampas semula, termasuk kapal layar mewah bernilai AS$130 juta, jet peribadi dan aset mewah milik anak tiri Najib.

“Kesemua aset-aset ini tentunya dibeli bukan untuk tujuan pelaburan yang menguntungkan 1MDB. Tetapi sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Pekan menggunakan sebahagian wang berjumlah 4.5 bilion dolar AS yang dicuri dari 1MDB.

“Nasib baiklah Barisan Nasional kalah dalam PRU-14 dan Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Maka kerajaan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas ini untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing.

“Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Asset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.

“Bayangkan jika Pekan masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia. Jadi benarlah Pekan ini seorang yang cerdik – cerdik berbohong,” kata Muhyiddin

Beliau berkata kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.

“Apa lagi yang kesnya terkenal seantero dunia sebagai (dengan izin) “the biggest scandal of the century” yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global atau the plundering idiots yang mencetuskan a national embarrassment,” katanya.

Teks ucapan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin di ruang RENCANA

BERITA BERKAIT
POPULAR