
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Lebih ramai pihak menyuarakan sokongan terhadap keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Yang terbaharu ialah Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Gesaan Wan Salim dibuat sehari selepas beliau berkata pihak berkuasa perlu menguatkuasakan garis panduan tertentu bagi memastikan pemilik dan pengunjung kelab komedi tidak melepasi batas moral dan agama.
“Kenyataan saya sebelum ini kelihatan lembut terhadap kelab komedi, kerana saya fikir ia sesuatu yang tidak disengajakan.
“Tetapi setelah mengetahui kejadian serupa berulang kali berlaku pada masa lalu, dapat difahami bahawa ia sengaja dirancang untuk menghina Islam.
“Saya menyokong tindakan tegas DBKL terhadap kelab komedi itu berikutan keseriusan kesalahan yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” katanya hari ini.
Wan Salim berkata walau apa pun cara kelab komedi itu perlu ditutup supaya dijadikan pengajaran kepada semua orang di luar sana.
Operasi kelab komedi itu telah digantung apabila pihak berkuasa menyiasat video tular seorang wanita yang dipercayai sengaja menghina kesucian agama Islam.
Semalam, seorang lagi lelaki, dipercayai pengasas bersama kelab komedi terbabit, ditahan kerana dipercayai membuat persembahan yang menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman seperti tular melalui dua klip video.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki yang berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas bagi membantu siasatan.
Baru-baru ini, dua rakaman video yang dipercayai memaparkan lelaki terbabit melakukan persembahan komedi di sebuah kelab komedi, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pihaknya turut menerima laporan berkaitan seorang individu yang didakwa sebagai pemilik premis itu yang mempermainkan serta memperlekehkan bangsa Melayu menerusi video tular persembahan di premis tersebut.
13 Julai lalu, seorang wanita didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di sini, manakala teman lelakinya didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial.
Video berdurasi 54 saat tular di media sosial menunjukkan seorang wanita mendakwa telah menghafaz 15 juz al-Quran dan kemudiannya membuang tudung dan baju kurungnya, meninggalkannya dalam pakaian yang mencolok mata dan dianggap menghina Islam.
Wanita terbabit, Siti Nuramira Abdullah, ditangkap dan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.
Teman lelaki wanita terbabit, Alexander Navin Vijayachandran, berusia 38 tahun pula didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan mengguna media sosial untuk mempromosi dan memuat naik kandungan bertujuan menghina orang ramai.
Pada Ahad (10 Julai), DBKL mengumumkan penutupan sementara kelab komedi itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu.