
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu merangkumi 12 stesen dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu memulakan operasinya jam 3 petang ini.
Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu yang dilaksanakan pada 2014 memulakan operasinya hari ini (16 Jun 2022), sekali gus membuka era baharu dalam sistem pengangkutan awam negara, khususnya di Lembah Klang.
Anggaran masa perjalanan dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu adalah 24 minit.
Seperti MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya ini akan dikendalikan oleh Rapid KL.
Sempena pembukaan rasminya hari ini, kerajaan mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu merangkumi 12 stesen dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu memulakan operasinya jam 3 petang ini.
Sembilan stesen baharu yang dibuka ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu, manakala tiga stesen yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Kajang ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.
Ketiga-tiga stesen ini telah beroperasi sejak 2016 apabila MRT Laluan Kajang fasa satu dibuka.
Bagaimanapun, stesen berkenaan ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi kerja-kerja pemindahan stesen untuk menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya yang baharu.
Stesen terbabit juga kini telah berjaya dipindahkan ke MRT Laluan Putrajaya dengan penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara.
Pertukaran tren ini amat mudah kerana penumpang hanya perlu berjalan melintasi platform untuk meneruskan perjalanan mereka.
Laluan baharu itu juga dihubungkan dengan perkhidmatan tren KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral), dan Kampung Batu.
Di Kampung Batu, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pertukaran ke laluan KTM Komuter Batu Caves-Pulau Sebang.
Satu lagi alternatif ialah dengan menggunakan Bas Rapid KL No 173 untuk ke Lebuh Ampang, sementara perkhidmatan bas percuma Go KL Laluan Merah Manggis di Kampung Batu.
Sejumlah 13 laluan bas perantara akan memberi perkhidmatan kepada kawasan perumahan dan komersial yang terletak di dalam kawasan berhampiaran stesen, seperti Bandar Sri Damansara, Taman Ehsan, Taman Kepong dan Bandar Baru Selayang.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu akan mempunyai 20 set tren dengan setiap set tren terdiri daripada empat gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.
Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu.
Pembinaan untuk fasa dua dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral sedang berjalan dengan lancar dan sudah berada pada tahap 98 peratus siap.