
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur susulan pembukaan pintu sempadan negara semalam.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) yakin proses pemulihan ekonomi negara akan kembali rancak dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April.
Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menjangkakan pemulihan ekonomi itu mungkin mengambil masa setahun atau dua tahun.
“Tetapi ia adalah satu permulaan yang baik dan MPN yakin apabila sempadan negara telah dibuka, maka proses pemulihan ekonomi negara akan lebih rancak dan lebih cepat.
“Sekarang ini pun sudah bermula tetapi tidak serancak yang kita kehendaki kerana sempadan negara dulunya ditutup,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.
Muhyiddin berkata apabila sempadan dibuka maka aktiviti-aktiviti ekonomi bertambah dengan kehadiran pelawat dan pelabur.
Menurutnya prosedur operasi standard (SOP) untuk pengembara yang dipermudah akan menggalakkan lebih ramai pelancong kembali mengunjungi negara ini.
Beliau berkata difahamkan 50 syarikat penerbangan kembali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ini merupakan petanda baik.
“Pelawat juga lebih 250,000 orang sehingga hari ini tapi jumlah itu masih rendah daripada sasaran. Setelah negara ditutup kepada dunia sekian lama, kita tidak boleh jangka dua minggu mencacak naik.
“Tapi kalau ikut sasaran masih rendah. Daripada tarikh diumumkan itu dia tidak mencacak naik begitu saja. Dia akan mengambil masa. Tapi ini satu permulaan yang baik.
“Jadi kita yakin dengan pembukaan sempadan dengan banyak negara-negara lain disebabkan masalah Covid sudah mudah dapat dikawal maka pelancong yang kita harap akan datang berkunjung kembali ke Malaysia akan datang dengan seberapa cepat yang boleh,” katanya.
Muhyiddin berkata proses itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum negara pulih seperti sediakala.
Beliau berkata memandangkan sektor pelancongan, yang menyumbang RM80 bilion setahun kepada negara, adalah antara yang terkesan teruk ekoran pandemik Covid-19, satu taklimat akan diadakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi meneliti proses pemulihan sektor itu yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk kembali pulih.