
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan kilang memproses sarang burung walet di Bintulu, Sarawak, Jutawalet Services & Trading, semalam. - Gambar FB Muhyiddin Yassin
Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan memberikan apa sahaja sokongan kepada semua pihak untuk merancakkan semula sektor ekonomi negara yang dibuka setelah negara kini melalui fasa peralihan endemik Covid-19.
Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata segala syor, cadangan dan dapatan daripada pihak terlibat akan disampaikan kepada kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Majlis Pemulihan Negara akan sentiasa menyokong apa sahaja program pemulihan ekonomi terutama yang melibatkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (IKS), peniaga dan penjaja kecil,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke kilang memproses sarang burung walet di Bintulu, Sarawak, Jutawalet Services & Trading.
Perusahaan ini dijalankan oleh Patrick Jenau anak Tindit sejak lima tahun lalu dengan jumlah keluaran kira-kira dua tan sebulan. Buat masa ini produk tersebut dikeluarkan untuk pasaran tempatan sekitar Sibu dan Kuching sahaja kerana kesukaran memperoleh permit eksport.
“Saya dimaklumkan oleh Patrick Jenau, beliau bercadang untuk mengeksport terus ke negara Arab jika permohonan AP diluluskan memandangkan produk ini mendapat sambutan hangat daripada rakyat negara-negara Arab.
“Buat masa sekarang bekalan sarang burung dibeli daripada 50 pengusaha rumah burung walet di seluruh Sarawak. Saya kagum dengan kegigihan Patrick sehingga mampu menjana pendapatan kira-kira RM30,000 sebulan atau RM300,000 lebih setahun.
“Lebih membanggakan lagi kilang ini berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 20 orang yang terdiri daripada penduduk setempat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat mempertimbang dan memudahkan permohonan Patrick bagi membolehkan beliau mengembangkan lagi perusahaan produk sarang burung walet itu.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata beliau juga sempat meninjau operasi Kedai Prihatin Parlimen Bintulu yang ditubuhkan oleh Koperasi Bersatu Bintulu Berhad.
Katanya, kedai ini menyediakan pelbagai pilihan barangan keperluan harian pengguna pada harga berpatutan.
“Saya percaya pembukaan lebih banyak Kedai Prihatin seumpama ini akan dapat membantu rakyat berpendapatan rendah berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat sejak akhir-akhir ini,” katanya.