
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Persediaan awal Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani peningkatan kes Covid-19 dan penularan jangkitan cacar monyet di negara ini tidak mungkin memerlukan satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) atau kawalan sempadan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata berdasarkan laporan yang dibentangkan KKM, jumlah jangkitan Covid-19 dan cacar monyet di negara ini adalah terkawal.
“Daripada penjelasan KKM sebelum ini, mereka sudah bersedia dengan pengalaman lebih dua tahun dalam menguruskan pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketujuh MPN bagi 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata MPN juga bersetuju dengan saranan KKM untuk meningkatkan pengawasan terhadap jangkitan cacar monyet, termasuk di pintu masuk antarabangsa negara.
“Pelancong bukan warganegara yang tiba dari negara terjejas akan menerima mesej kesihatan setiap hari untuk mengingatkan mereka supaya memantau simptom cacar monyet,” katanya.
Muhyiddin berkata rakyat Malaysia yang tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet akan dinasihatkan untuk memantau status kesihatan mereka selama 21 hari.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi cacar monyet semasa dan meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit berisiko berikutan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan itu kini merupakan Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa ( PHEIC).
Beliau berkata, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dimaklumkan kepada KKM setakat 23 Julai lalu, dan kesemuanya disahkan negatif.
“Sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif,” kata Khairy semalam.
Beliau berkata sejak 1 Mei sehingga 23 Julai lalu, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada mereka.
Pada 21 Julai lalu, Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005) (IHR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan jangkitan cacar monyet yang berlaku ketika ini adalah sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
Keputusan ini dibuat berdasarkan peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara-negara bukan endemik cacar monyet, selain memenuhi tiga kriteria PHEIC iaitu kesan kejadian kepada kesihatan awam, kejadian luar jangka serta risiko penularan rentas sempadan; dan bukti serta data saintifik berkaitan jangkitan ini.
Pada 17 Jun lalu, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian. Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian dan melibatkan 74 buah negara pada 22 Julai lalu.