MPN gesa SOP buka sempadan dilonggar, mudahkan kemasukan

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula sempadan yang kemudian akan dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada mesyuarat MPN hari ini.

“Majlis mengambil maklum pihak KKM dalam proses akhir untuk memuktamadkan SOP bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri.

“Pengumuman pembukaan sempadan akan dibuat dalam masa yang terdekat. Ini juga kita bangkitkan semula kerana mesyuarat MPN yang lepas, kita telah mengemukakan cadangan supaya sempadan negara ini dibuka dengan segera… waktu itu diputuskan pada satu hari bulan Mac,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPN, hari ini.

Pada masa sama Muhyiddn yang juga bekas Perdana Menteri berharap SOP pembukaan sempadan yang disediakan itu lebih longgar supaya tidak memberi kesan membebankan kepada pengembara luar untuk masuk ke Malaysia.

“Saya harap (SOP) adalah lebih longgar, lebih mudah supaya tidak akan membawa kesan kepada pembukaan sempadan. Lagi cepat dibuka bagi saya adalah amat baik untuk pemulihan ekonomi negara. Jadi saya harap pengumuman ini akan dibuat dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi.

“Dalam mesyuarat kita yang lalu telah dinyatakan kenapa MPN menggesa supaya sempadan itu dibuka seberapa cepat yang boleh. Itu kita sendiri di MPN yang buat, bukan saya tapi ahli-ahli majlis buat keputusan.

“Dan saya sampaikan waktu itu dicadangkan 1 Mac kerana waktu itu pun kementerian termasuk KKM dan lain pun berpendapat boleh dibuka. Walaupun begitu apa pun keputusannya ialah kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata lebih cepat sempadan dibuka maka adalah lebih baik kepada negara kerana dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung selain mampu menambah pendapatan dari sudut pelancongan.

“Cepat buka untung pada Malaysia adalah amat banyak. Jadi negara-negara lain sebagaimana kita tahu dah diumum… Australia sudah buka hari ini. sedangkan Australia ke belakang daripada Malaysia dari segi proses vaksinasi… mereka masih lagi belum selesai.

“Kita dah selesai… antara negara top ten in the world yang berjaya menguruskan soal itu. Tapi bila proses nak buka sempadan… pilihan kita agak lambat. Ini MPN memberikan pandangan. Ini kalau lambat, kesannya adalah tidak baik bagi kita, merugikan negara.

“Soal Covid seluruh dunia menghadapi masalah. Tetapi di Malaysia nampaknya walaupun kes meningkat, tadi diberi penerangan oleh menteri dan juga oleh Ketua Pengarah Kesihatan, dia mampu menguruskan kes… kes yang berat mungkin tidak berapa banyak…0.2 peratus.

“Jadi bermakna apa pun situasi dia boleh diurus. So kalau dah boleh urus apa jadi masalah? Orang luar datang ke negara kita biasanya kena buat PCR dulu masuk… okeylah. Dia belanja lepas itu dia balik.

“Jadi saya tak nampak kenapa kita harus mengambil langkah yang agak lambat. Apa pun ini kita telah ulang, pandangan kitalah supaya perkara itu diberikan perhatian. Jadi termasuklah soal isu Langkawi.

“Sebenarnya cadangan awal dulu lepas Langkawi nak buka lain-lain pulau… juga sempadan di selatan dengan negara jiran. Negeri yang paling terkesan teruk. Oleh sebab ada sekatan dan halangan di sempadan kita itu ialah Johor,” katanya.

Menjawab soalan, Muhyiddin berkata sekiranya sempadan dibuka sepenuhnya maka skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) tidak diperlukan lagi.

Beliau juga menjelaskan peraturan supaya pengembara luar melakukan ujian saringan setiap hari tidak sesuai kerana akan menyusahkan pelancong untuk datang ke Malaysia.

“Macam isu kuarantin, isu ujian. Ini biasa berbangkit. Kalau boleh masuk tapi diuji macam ke Langkawi. Dimaklum tadi. Tiap-tiap hari kena test… saya pun tak nak pergi sana kalau saya orang asing. Kena tiap-tiap hari kena test… kita kena bayar,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR