MPN gesa semua sektor buat persiapan menjelang 1 April

Majlis Pemulihan Negara (MPN) menasihatkan semua sektor, terutama perhotelan, membuat persiapan awal susulan pembukaan semula sempadan dan peralihan negara ke fasa endemik mulai 1 April depan.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan membuka semula sempadan itu seiring dengan gesaan MPN sebelum ini dalam usaha menggerakkan semula sektor ekonomi negara.

“Contoh dalam bidang pelancongan, ejen pelancongan, syarikat penerbangan dan lain-lain, serta bidang perhotelan dan homestay boleh membuat persiapan awal.

“Saya menyambut baik kerana ia keputusan yang tepat. Banyak kesan yang menunjukkan bahawa negara kita boleh kembali seperti sedia kala… untuk sosio ekonomi kita dapat pulih dengan lebih pantas.

“Lagi pula kadar vaksinasi kita adalah antara yang tertinggi di dunia, yang memberi kesan amat besar kepada kita… dan, pengembara yang akan datang ke Malaysia pula pastinya perlu mematuhi prosedur operasi standard yang tidak terlalu ketat,” katanya pada sidang media sempena melancarkan TV White Space di Mini Stadium Lenga di Bukit Kepong, Pagoh, hari ini.

Menurutnya peralihan ke fasa endemik juga membolehkan pelbagai majlis dapat dilaksanakan, termasuk majlis perkahwinan dan makan seperti biasa di restoran hingga lewat malam.

“Jadi banyak kesan-kesan yang menunjukkan bahawa negara kita boleh kembali seperti sediakala dalam tempoh tak berapa bulan akan datang,” katanya.

Mengenai program hari ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata TV White Space adalah penyelesaian sambungan jalur lebar kos rendah, mudah dan pantas digunakan berbanding pilihan jalur lebar lain.

Katanya jalur lebar itu adalah penyelesaian praktikal untuk kawasan luar bandar di Malaysia memandangkan liputan televisyen adalah tinggi dan menjangkau kebanyakan kawasan luar bandar.

“Pengalaman Pagoh ini adalah bukti bahawa TV White Space berfungsi dengan baik dalam membolehkan sambungan jalur lebar dapat diperoleh di luar bandar.

“Saya berharap penduduk Lenga beroleh manfaat dengan pemasangan TV White Space di empat lokasi di Lenga pada 2021. Pemasangan ini terbukti sebagai penyelesaian yang berkesan dalam membolehkan jalur lebar juga boleh dilakukan di luar bandar,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR