
Sidang media Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kota Bharu, Kelantan.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar mempertikaikan pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana ia dibentuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab kritikan Zahid yang sedang berdepan puluhan pertuduhan rasuah di mahkamah terhadap badan tersebut kononnya tidak membantu kerajaan, walhal pelbagai cadangan dan nasihat yang dibuat sebelum ini banyak membantu ke arah pemulihan ekonomi negara.
“Ini (MPN) Perdana Menteri punya yang membentuk majlis pemulihan negara, bukan saya. Saya dilantik Pengerusi, tapi Majlis Pemulihan Negara dibentuk oleh kerajaan.
“Dimulakan waktu zaman saya, sewajarnya PM yang ada hari ini meneruskan tapi dia minta supaya saya memimpin Majlis Pemulihan Negara,” katanya semasa sidang media hari ini di Kota Bharu, Kelantan.
Kritikan Zahid kononnya MPN gagal bukan kali pertama, malah sebelum ini semasa krisis politik tercetus kerana komplot dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwaan sama kerajaan “gagal” juga dibuat oleh pemimpin UMNO itu.
“Datuk Zahid Hamidi, Presiden UMNO boleh katalah. Ya, macam gagal dan sebagainya. Macam dululah. Dia kata kerajaan gagal. Tapi sebenarnya tak gagal.
“Rakyat boleh menilai tentang soal menguruskan Covid, vaksinasi, macam-macam yang kita dah buatkan. Jadi saya fikir yang penting bukan orang politik yang kata, rakyat menilai,” katanya lagi.
Muhyiddin semasa pentadbirannya berdepan krisis kesihatan yang tidak pernah dihadapi mana-mana negara dunia sebelum ini, bagaimanapun hasil perancangan rapi dalam isu vaksinasi dan pencegahan berjaya memastikan semua rakyat kini menerima vaksinasi lengkap sepenuhnya.
Malah, Muhyiddin juga berjaya memastikan bekalan vaksin negara mencukupi dan menampung semua rakyat yang mendapat vaksin.
Jelasnya lagi, MPN merupakan sebuah badan yang akan menasihati kerajaan dan tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk melaksanakan sebarang dasar dan polisi yang dicadangkan.
“Jadi kalau nak katakan berkesan tak berkesan, kami sebagai Majlis Pemulihan Negara tidak ada kuasa eksekutif ataupun kementerian, ataupun agensi,” katanya lagi.