
Sidang media Ahli Parlimen (MP) Warisan berhubung isu tuntutan kerajaan Sulu.
Ahli Parlimen (MP) Warisan mendakwa mereka tidak mengetahui surat yang dihantar oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kepada kepada peguam keturunan Sulu.
Tommy menghantar surat kepada peguam Sulu pada 19 september 2019 sewaktu menjadi Peguam Negara ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memberi implikasi besar kepada negara, ia juga dikaitkan dengan rampasan dua aset Petronas yang berlaku di Luxembourg baru-baru ini.
Dua MP Warisan, Datuk Azis Jamman (Sepanggar) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) mendakwa mereka tidak mengetahui berhubung surat tersebut dan mempersoalkan sama ada ia mendapat kebenaran Kabinet semasa dihantar kepada peguam kerajaan Sulu tersebut.
“Malah surat daripada Tommy Thomas sebelum ini, kami tidak tahu dan dimaklumkan berhubung surat tersebut.
“Kami terkejut mengetahui ada surat yang dihantar bekas Peguam Negara berhubung isu ini,” kata Azis dalam sidang media hari ini.
Munirah juga mempersoalkan sama ada surat yang dikeluarkan Tommy tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Kabinet untuk dibincangkan sebelum dihantar kepada pihak Sulu.
“Kami juga ingin bertanya sama ada surat yang dia (Tommy) keluarkan itu mendapat mandat daripada Kabinet? Adakah dia melalui Kabinet? Adakah Kabinet mengetahuinya?” kata Munirah dalam sidang media sama.
Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi membincangkan isu rampasan aset Petronas di luar negara oleh waris kesultanan Sulu.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun semasa membuat keputusan tersebut berkata usul tersebut disebabkan undang-undang subjudis menghalang dewan daripada membahaskan perkara itu.
Susulan itu, Dewan Rakyat menjadi hangat apabila menolak tersebut sehingga menimbulkan kemarahan MP dari Sabah kerana keputusan tersebut.
“Kenapa kita minta untuk dibahaskan kerana kebetulan ada Menteri Luar duduk dalam dewan.
“Jadi kita ingin tanya kepada menteri luar, kalau kita sentiasa mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat di peringkat antarabangsa khususnya kenapa tidak meletakkan satu item di dalam agenda di dalam mesyuarat itu mendesak kerajaan Filipina menggugurkan tuntutan mereka terhadap Malaysia berhubung Sabah,” kata Azis yang tidak berpuas hati selepas Dewan Rakyat menolak usul tersebut hari ini.
Terbaharu waris Kesultanan Sulu berjaya membawa tuntutan tersebut ke peringkat antarabangsa. Pada 28 Februari lalu, penimbang tara Sepanyol, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Pada 11 Julai lalu, peguam pihak Sulu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).