MP PKR persoal mengapa Najib tak dihantar terus ke penjara

Keputusan Mahkamah Rayuan menangguhkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak dipertikai seorang Ahli Parlimen (MP) PKR.

MP Pasir Gudang Hassan Karim tidak berpuas hati dengan keputusan penangguhan tersebut dan membandingkan dengan permohonan sama pernah dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat dihadapi sebelum ini, namun beliau terus dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

“Tetapi, amalan duluan atau ‘precedent’ dalam kes fitnah kedua Anwar perlu dirujuk. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebas beliau daripada pertuduhan.

“Tetapi, kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu yang diketuai Najib sebagai Perdana Menteri telah mengarahkan Pendakwa Raya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Anwar telah memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya kerana beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi permohonan itu ditolak dan beliau dihantar terus ke Penjara Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hassan yang juga seorang peguam, berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang, maka tidak sepatutnya ada perbezaan antara Najib dengan Anwar.

“Justeru itu, sebagai Ahli Parlimen yang bersumpah untuk memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan, maka saya menuntut supaya apa keputusan yang mahkamah telah jatuhkan ke atas Anwar hendaklah dilaksanakan hal yang sama terhadap Najib.

“Jika demikian berlaku, baharulah dunia melihat sistem undang-undang Malaysia sesungguhnya adil,” ujarnya.

Najib didapati bersalah bersabit kes pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas rayuannya ditolak pagi ini.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan menolak rayuan bekas PM itu selepas mendapati permohonan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga Hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah antara lain menyatakan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang mengemukakan permohonan agar hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan kerana mereka ingin mengemukakan rayuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR