MP pembangkang tidak sertai MOU tidak dapat peruntukan sama rata

Kerajaan hanya akan memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen (MP) pembangkang yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama pada 13 September lalu.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu isu berhubung peruntukan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa MOU Transformasi dan Kestabilan Politik akan datang untuk dibincangkan sebelum dimuktamadkan.

“Hanya Ahli Parlimen terlibat saja bakal diberi dulu. Selepas itu (yang belum dapat) saya akan bawa dalam mesyuarat akan datang,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang memohon semua MP pembangkang diberi peruntukan sama rata.

Anwar berkata MOU dengan kerajaan sebelum ini menyatakan akan mempertahankan hak dan tanggungjawab Pakatan Harapan (PH) untuk semak imbang mengawasi, meneliti, dan memastikan kerajaan bertanggungjawab pada Parlimen.

“Saya selaku Ketua Pembangkang secara konsisten dari awal memang memohon supaya peruntukan sama diberikan kepada semua pembangkang walaupun tidak terikat dengan MoU,” katanya.

Pembaharuan Parlimen Perkara 3.5 MOU antara PH yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan pada 13 Sepember lalu menetapkan peruntukan sama rata kepada semua MP yang terlibat dalam persefahaman itu.

Putrajaya dan blok pembangkang, PH menandatangani MOU pada 13 September lalu yang menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persefahaman dalam beberapa aspek bagi mencapai kestabilan politik dalam negara.

Melalui MOU itu kerajaan menjanjikan beberapa pembaharuan termasuk reformasi Parlimen, Undi18, had jawatan seseorang PM dan kebebasan badan kehakiman.

Sebagai balasan, PH yang menjadi blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat akan menyokong atau berkecuali dalam undian Bajet 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya.

Ia dengan syarat penggubalan belanjawan dan rang undang-undang (RUU) yang berkaitan dengannya dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan PH.

PH juga akan menyokong atau berkecuali dalam sebarang RUU yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya, dengan syarat perangkaannya turut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

BERITA BERKAIT
POPULAR