MP DAP marah kerajaan desak syarikat arak Timah tukar nama

Susulan campur tangan pihak kerajaan pusat dalam isu arak jenama Timah, seorang Ahli Parlimen DAP (Kuching) Dr Kelvin Yii membidas langkah tersebut sehingga menyebabkan syarikat itu terpaksa menukar nama arak jenamanya itu.

Yii tidak berpuas hati selepas syarikat arak itu bersetuju menimbang untuk menukar nama dan imej pada label produk mereka.

“Ada banyak lagi perkara penting yang sedang dihadapi oleh negara termasuk kenaikan harga dan bagaimana rakyat di bawah menderita dari segi ekonomi.

“Tetapi sebaliknya mereka memilih untuk mengalah kepada sentimen melampau seperti itu yang menghina kebijaksanaan mana-mana lelaki atau wanita yang waras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yii menambah dia juga kecewa kerana pengumuman itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi yang juga merupakan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tambahnya, isu itu ditimbulkan secara tidak sepatutnya sehingga mencetuskan kontroversi agama dan kaum.

“Ini pada dasarnya akan menetapkan duluan (precedent) berbahaya di negara kita di mana nama sesuatu produk dikatakan boleh mengelirukan mana-mana segmen masyarakat dan dengan itu mesti diubah.

“Ini akan menjadikan kita bahan ketawa masyarakat antarabangsa,” kata Yii.

Beliau juga berkata hak orang bukan Islam juga perlu dihormati untuk meminum ara

“Apa pun jenamanya, arak adalah haram dalam Islam, tetapi hak orang bukan Islam untuk meminumnya perlu dihormati.

“Kita adalah masyarakat berbilang kaum dan budaya kerana kita berbangga dengan kesederhanaan.

“Kita tidak boleh biarkan diri kita tunduk kepada retorik melampau sebegitu dan membenarkan ‘bukan isu’ seperti nama wiski dihebohkan, ketika Malaysia berbangga dengan kesederhanaan, serta keharmonian berbilang kaum dan budaya,” katanya lagi.

Isu jenama arak tersebut tular dalam media sosial dan menjadi kontroversi kerana tidak sensitif dengan umat Islam di Malaysia.

Syarikat pengeluar arak tersebut menjelaskan jenama Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 7 Okt lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

BERITA BERKAIT
POPULAR