MP DAP Jelutong digantung dua hari hadir sidang Parlimen

Baru sehari perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan transformasi Parlimen, suasana Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen (MP) Jelutong RSN Rayer tidak menghormati Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon.

Akibatnya MP DAP itu digantung dua hari daripada menghadiri sidang Parlimen setelah diarah keluar oleh Rashid kerana enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ yang ditujukan kepada Timbalan Speaker itu.

Terdahulu, ketika Azhar mempengerusikan sesi persidangan itu, MP pembangkang mendesak beliau mengemukakan sebab dan penjelasan mengapa usul menukar Speaker Dewan Rakyat ditolak.

Azhar memaklumkan perkara itu sudah dikendali dan diputuskan oleh Rashid, dan beliau tidak masuk campur mengenai perkara itu kerana tidak mahu ada kepentingan.

“Saya dah kata, saya tidak membabitkan diri langsung dalam keputusan ini, saya diberitahu sudah ditolak. Jangan suruh saya terangkan kenapa, kerana saya tidak terbabit dalam perbuatan ini, tolong tanya Timbalan Speaker.

“Saya berada dalam kedudukan ‘konflik’, saya tidak boleh buat apa-apa keputusan dalam perkara ini,” katanya ketika diasak wakil pembangkang, sebelum beliau memanggil Rashid untuk mengendalikan sesi itu dan menyelesaikannya.

Rashid ketika menjelaskan perkara berkenaan memaklumkan, sudah diberi ‘kuasa’ oleh speaker untuk mengendalikan usul mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat itu.

“Ada 11 usul datang serentak dari Parti Amanah Negara (Amanah), kemudian datang dari satu lagi dan yang ke-12 ini tidak menepati peraturan selepas saya merujuk kepada penasihat undang-undang.

“Kemudian datang dua (usul sama) dari PKR pun sama juga (tidak menepati peraturan). Maka setiap yang memberikan usul berkenaan, sudah saya jawab secara bertulis. Sila baca jawapan berkenaan dan keputusan saya muktamad dan tidak ada rayuan,” katanya ketika menjelaskan mengenai sebab usul itu ditolak di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam kekecohan itu, Rayer bangun dan berkata kepada Rashid supaya tidak menyalahguna kuasanya dan ia memalukan.

“Timbalan speaker, jangan salah guna kuasa. People are watching you (rakyat memerhati). Memalukan,”

“Timbalan speaker.. saya tidak akan tarik balik, itu satu tindakan memalukan. Tindakan Timbalan Speaker bukan saja memalukan di luar dewan tapi di dalam dewan,” kata Rayer menyebabkan Rashid mengarahkan Rayer menarik balik perkataan ‘memalukan’.

Rashid kemudian mengarahkan Rayer supaya keluar dari Dewan dan menggantungnya dua hari setelah enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR