MoU terbatal jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibentang: Guan Eng

Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan akan dibatalkan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) jika Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak dibentang pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ia memandangkan RUU Anti Lompat Parti adalah perjanjian utama yang termaktub dalam MoU yang dimerterai sebelum ini dan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi komitmennya untuk meluluskan di Parlimen.

“Terdapat beberapa kekeliruan mengenai status perkara ini sekarang, di mana Aturan Urusan Parlimen terkini mendedahkan pembentangan Bacaan Pertama Pindaan Perlembagaan Rang undang-undang esok di Parlimen.

“Sekiranya Undang-undang Anti Lompat Parti tidak diluluskan seperti yang dijanjikan dalam MoU yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, maka MoU itu terbatal dan ditamatkan,” katanya ketika berucap semasa Kongres DAP hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

Jelas Wan Junaidi, dibawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 September lalu, PH dan kerajaan Ismail Sabri menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran kerajaan.

MoU tersebut dijangka berakhir pada Julai ini dan UMNO semasa Perhimpunan Agung 2021 baru-baru ini juga lantang mendesak pembubaran Parlimen bagi memberi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR