MOSTI guna 20 dron tinjauan, hantar bekalan penting di kawasan banjir

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengaktifkan 20 dron berkuasa tinggi bagi tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting ke beberana negeri yang dilanda bencana banjir.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada lima syarikat swasta untuk membekalkan 20 dron itu yang akan dikendalikan oleh Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron).

Bagaimanapun katanya MOSTI masih menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menerbangkan dron berkenaan secepat mungkin.

“Dron ini bukan sahaja boleh memantau dan mencari mangsa banjir yang mungkin terperangkap, tetapi juga keadaan jalan raya atau tebing seperti tanah runtuh yang mungkin terkesan akibat bencana ini,” katanya hari ini.

Katanya penggunaan dron itu dapat membantu usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bantuan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menilai keadaan semasa dengan lebih tepat di kawasan terjejas banjir.

Dr Adham berkata dron akan memudah akses kepada visual dari udara bagi membantu agensi berkaitan dan pihak terbabit menyampaikan perkhidmatan kecemasan kepada mangsa banjir yang terkandas dan tiada akses kepada rangkaian komunikasi.

Menurutnya dron berteknologi tinggi itu boleh membawa muatan hingga 10 kilogram untuk setiap penghantaran dan melakukan penghantaran bekalan asas khususnya ubat dan makanan, terutamanya di kawasan yang sukar dicapai.

Mengenai cerapan imej satelit, Dr Adham berkata sehingga semalam, kawasan yang digenangi air di Taman Sri Muda dan Seksyen 24, Shah Alam, Selangor menunjukkan pengurangan kira-kira 60 peratus berbanding Sabtu lepas, dan kawasan liputan banjir berkurangan daripada 5.1 kilometer persegi kepada kira-kira 2.1 kilometer persegi.

Cerapan imej satelit di Pahang pula menunjukkan peningkatan kawasan yang digenangi air, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR