Mossad buru pejuang Palestin di Malaysia, guna rakyat tempatan: Laporan

October 18, 2022 · Isu semasa

Ejen perisikan rejim Zionis Israel, Mossad, sekali lagi dilaporkan ‘menyerang’ bumi Malaysia, dalam perang mereka terhadap anggota kumpulan pejuang Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Tetapi, Mossad telah menyesuaikan taktik untuk tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka. Mereka dipercayai merekrut warga tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, lapor eksklusif NST hari ini.

Baru-baru ini, menurut akhbar itu, dalam perkembangan yang terlepas daripada sorotan media, ejen Mossad meminta rakyat Malaysia untuk mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percayai sebagai aset sayap bersenjata Hamas – Brigade al-Qassam.

Dalam satu operasi di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur, baru-baru ini, mereka memintas dua sasaran bernilai tinggi Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September lalu, apabila kedua-duanya, pakar pengaturcaraan komputer, hendak memasuki kenderaan mereka yang diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, selepas menikmati makan malam di pusat beli-belah berhampiran.

Sebuah kenderaan berwarna putih menuju ke arah mereka. Empat lelaki keluar, dan pergi ke arah rakyat Palestin pertama yang berada di tempat duduk pemandu. Mereka memukulnya sambil mengheretnya ke dalam kenderaan yang menunggu, sambil memberitahunya bahawa “bos mereka mahu bercakap dengannya”.

Seorang lagi warga Palestin cuba membantu rakannya tetapi diberi amaran supaya menjauhkan diri.

Apabila menyedari bahawa ini mungkin kerja ejen Israel, dia berlari ke hotel berdekatan untuk mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan yang ditempatkan di sana, ketika kenderaan itu memecut dengan rakannya di dalam.

Sebuah kereta bayangan mengekori mereka. Kenderaan bayangan biasanya digunakan untuk melindungi kereta utama yang melaksanakan operasi bergerak.

Warga Palestin kedua membuat laporan di balai polis Dang Wangi kira-kira 40 minit selepas penculikan.

Rakan yang diculik itu dilaporkan dipukul di dalam kereta utama. Penculik mengambil telefon bimbitnya dan memaksanya membuka kuncinya. Dia berbohong kepada mereka bahawa telefon bimbit itu milik rakannya.

NST difahamkan, penculik itu membuang telefon bimbit berkenaan ketika ia memecut ke arah Kuala Langat kerana bimbang dikesan.

Diikat dan ditutup matanya, warga Palestin itu dibawa ke sebuah bilik di sebuah chalet di sudut sunyi di daerah itu, di mana penculik – dikenali sebagai rakyat Malaysia – mengikatnya pada kerusi.

Menurut laporan itu, satu panggilan video telah dibuat di hadapan mangsa. Dalam talian itu terdapat dua lelaki, dipercayai rakyat Israel, yang kata-kata pembuka kepadanya ialah: “Anda tahu mengapa anda berada di sini.”

“Pasukan operasi ‘cekup dan ambil’ mungkin tersalah komunikasi dengan pengendali Israel mereka dan beberapa rakyat Malaysia yang lain menunggu di chalet.

“Ini kerana mereka melakukan tugas dengan kurang baik apabila membiarkan seorang lagi rakyat Palestin yang lain melarikan diri… malah sebenarnya, dia mungkin menjadi individu lebih berharga,” lapor NST yang memetik sumber yang mengetahui kes itu sebagai berkata.

Mereka juga gagal menutup muka, melakukan pengawasan asas dalam mana-mana operasi rahsia. Nombor plat pada kenderaan yang digunakan dalam operasi itu juga dikatakan tulen.

Di chalet itu, sebuah lagi bilik dengan susunan yang sama untuk mangsa kedua telah disediakan.

Selama 24 jam berikutnya, mangsa disoal siasat dan dipukul oleh ejen Malaysia apabila jawapannya tidak memuaskan hati Israel.

Sementara itu, seorang daripada anggota operasi Malaysia berhubung terus dengan warga Israel, melaksanakan arahannya, lapor akhbar itu.

“Rakyat Israel ingin tahu tentang pengalaman lelaki Palestin itu dalam pembangunan aplikasi komputer, kekuatan Hamas dalam membangunkan perisian, anggota Briged Al-Qassam yang beliau kenali dan kekuatan mereka,” katanya.

NST melaporkan, polis segera menjalankan siasatan kes itu dan berjaya mengesan laluan kereta terbabit, yang membawa mereka ke chalet berkenaan.

Difahamkan, ketika pasukan polis menyerbu bilik itu, soal siasat sedang dijalankan, dan lelaki Israel di hujung talian, yang keliru seketika dengan kekecohan yang berlaku, kedengaran berkata: “Hello! Hello!”, sebelum talian dimatikan.

Soalan terakhir yang ditanya oleh pihak Israel kepada mangsa, sejurus sebelum polis bergerak masuk, ialah siapa di kalangan pimpinan tertinggi Hamas yang pernah bertemu rakannya.

“Jika polis Malaysia tidak bertindak pantas, mangsa berkemungkinan hilang,” kata sumber itu.

Rakyat Palestin yang trauma telah meninggalkan Malaysia. Mangsa mengalami kecederaan di badan, kepala dan kaki.

Pada Mei tahun lalu, media Israel melaporkan bahawa negara Yahudi itu telah mengisytiharkan perang terhadap Hamas di seluruh dunia. Pegawai tertinggi Israel telah berkata mereka akan mengejar semua pemimpin Hamas, di mana sahaja mereka berada.

Mereka berkata tentera Israel akan menyasarkan pemimpin Hamas bukan sahaja di Gaza, tetapi di Iran, Qatar, Turkiye, dan juga Malaysia.

Pada 21 April 2018, Fadi Mohamed al-Batsh, 35, seorang profesor Palestin dan anggota Hamas, terbunuh dalam tembakan di Kuala Lumpur.

Keluarganya menuduh Mossad berada di sebalik pembunuhannya.

Agensi perisik Israel menafikan penglibatannya walaupun Hamas didakwa telah menangkap seorang lelaki, yang telah mengaku diberikan tugas oleh Mossad.

Pada 5 Oktober lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, seorang lelaki warga Palestin diselamatkan sehari selepas diculik individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng, pada 29 September lalu.

Katanya mangsa yang berusia 31 tahun diselamatkan selepas pihaknya menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 September hingga 4 Oktober.

“Kesemua 18 individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 42 tahun disyaki berperanan menculik dan menyembunyikan mangsa. Siasatan mendapati mangsa yang dipercayai tinggal di Eropah, masuk ke negara ini pada 21 September lalu sebagai pelancong,” katanya.

Berita berkaitan
Polis segerakan siasatan dalam kes langgar pelajar sehingga maut
December 16, 2023· Isu semasa
Agus dipanggil beri keterangan esok terhadap dakwaan gangguan seksual
December 13, 2023· Politik
Kes Zayn Rayyan: Bahan bukti ditemui selepas pemeriksaan kali kedua
December 13, 2023· Isu semasa
Polis rekod keterangan Kit Siang dengan 27 soalan isu PM bukan Melayu: Peguam
December 13, 2023· Politik
Popular
SPRM masih cari jutaan ringgit kes pembantu menteri DAP: Laporan
April 18, 2023
Hina Islam: Penghantar makanan masuk penjara, gagal bayar denda RM50,000
July 21, 2022
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024
LCS: Anwar cakap tak serupa bikin
May 29, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok