MKN bincang benar pelajar IPT pulang sambut Aidilfitri esok

Pelajar IPT boleh pulang sempena cuti semester. - Gambar hiasan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang menyambut Hari Raya Puasa bersama keluarga di kampung, esok.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, beliau telah berunding dengan pihak terbabit, termasuk Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan berkaitan perkara itu.

Katanya, sesi yang sama juga telah dibuat bersama Timbalan Naib Chanselor Hal Ehwal Pelajar IPT, persatuan IPT (swasta) dan Majlis Perwakilan Pelajar pada 20 April bagi mendapatkan imput diperlukan.

“Petang tadi saya telah mengadakan sesi libat urus bersama dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi mendapat maklum balas mengenai cadangan kebenaran dan SOP pergerakan pulang pelajar ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Noraini berkata, walau apa pun pandangan yang diterimanya, keutamaan tetap diberi kepada prosedur operasi standard (SOP) sebelum dibentang pada mesyuarat MKN esok.

“Apa jua keputusan yang dibuat, keselamatan dan kesihatan pelajar merupakan keutamaan kami di Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

POPULAR