Miskin bandar di Selangor, KL mula dapat bantuan PRIHATIN Kasih

Kerajaan memperuntukkan RM100 juga bagi melaksanakan PRIHATIN Kasih di bawah pakej PEMERKASA untuk membantu menampung kos sara hidup golongan miskin bandar.

Kementerian Kewangan (MoF) mula menyalurkan bantuan barangan dapur menerusi projek perintis Program PRIHATIN Kasih kepada golongan miskin bandar yang layak di Selangor dan Kuala Lumpur sejak 1 Julai lalu.

Menurut kenyataan MoF hari ini projek perintis itu dimulakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa mukim di Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan PRIHATIN Kasih di bawah pakej PEMERKASA untuk membantu menampung kos sara hidup golongan miskin bandar.

“Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa tunai melalui MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isu rumah di bandar utama di seluruh Malaysia.

“Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih dipilih daripada keluarga miskin bandar dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pangkalan data BPR,” katanya.

Menurut Mof program itu membabitkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur dan sebagainya.

Katanya, program itu juga membabitkan lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara, termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Store (Tesco) serta kedai runcit.

“Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit terdekat,” kata MoF.

MoF berkata program MyKasih adalah pelengkap kepada Program bakul Makanan yang diumumkan di bawah pakej bantuan termasuk PERMAI dan PEMULIH.

POPULAR