
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan menyediakan laporan kedua berhubung projek perolehan enam kapal tempur pesisir pantai Tentera Laut Diraja Malaysia kira-kira dua bulan lagi.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) pernah diberi dua pilihan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), berhubung perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dua pilihan itu ialah meneruskan kontrak pembinaan kapal berkenaan, atau menamatkannya, menurut laporan JKSTUPKK yang didedahkan kepada umum mulai hari ini.
Jawatankuasa dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang itu mencadangkan supaya syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) memuktamadkan segera perubahan peralatan dan juga reka bentuk.
Kerajaan juga perlu membuat kawalan ketat ke atas bayaran kemajuan kepada BNS supaya sumber kewangan tersebut hanya digunakan untuk membiayai projek LCS, sekali gus mengelak bayaran dibuat projek tidak berkaitan.
“BNS juga disyorkan meningkatkan amalan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kewangan, perolehan peralatan dan perkhidmatan dengan pembekal bagi memastikan harga memberi keuntungan kepada kerajaan,” kata laporan JKSTUPKK.
JKSTUPKK berkata sekiranya mahu menamatkan kontrak berkenaan, MINDEF perlu mematuhi beberapa klausa yang terkandung dalam kontrak selain memberi pertimbangan kepada beberapa perkara lain.
“Ia termasuk kerajaan telah membuat pembayaran sebanyak RM5.94 bilion dan peratus pembinaan setakat 31 Mei 2019 bagi LCS satu mencapai 36.75 peratus,; LCS dua (32.61 peratus); LCS tiga (29.08 peratus); LCS empat (21.96 peratus); dan LCS lima (1.55 peratus), manakala pembinaan LCS enam masih belum bermula.
“Aliran tunai syarikat BNS setakat 31 Mei 2019 juga dilihat amat lemah. BNS mempunyai hutang terhadap 90 bank dan termasuk hutang kepada pembekal dan OEM sebanyak RM801.11 juta,” kata JKSTUPKK.
Terdahulu laporan JKSTUPKK berkait projek LCS sudah dinyahklasifikasikan oleh kerajaan pada hari ini dan disiarkan dalam laman sesawang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) – badan bipatisan di Parlimen yang menyemak perbelanjaan kerajaan.
Perolehan enam LCS telah diberi kelulusan oleh Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan secara rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM9.128 bilion.
Tempoh kontrak bermula pada 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023. Tujuan perolehan ini bagi meningkatkan keupayaan TLDM dalam melaksanakan pelbagai operasi.
Namun demikian sehingga kini tiada sebuah kapal LCS yang telah siap dibina. Ekoran daripada itu, laporan JKSTUPKK telah diterbitkan pada 20 Ogos 2019 dan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan telah dibentangkan di Parlimen pada 24 Ogos 2020.
Skandal terbaharu yang menggegarkan negara setelah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), meletus susulan pendedahan PAC pada 4 Ogos lalu.
Dalam pendedahan itu PAC berkata kerajaan BN/UMNO telah memberikan lebih RM6 bilion wang rakyat kepada BNS untuk projek pembinaan enam kapal tempur TLDM.
Untuk rekod, kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan sebelum digantikan Hishammuddin.
Ia bermula dengan pemberian surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada BNS pada 2014 untuk membina enam kapal LCS.