Mindef akan siasat ancaman siber penggodam China, kata Hishammuddin

Kementerian Pertahanan akan menyiasat dakwaan ancaman siber didakwa sedang dirancang kumpulan penggodam China yang menyasarkan sistem pertahanan negara, kata menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishamuddin berkata Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) sentiasa proaktif melakukan pemantauan bagi menjaga keselamatan sistem siber negara, langkah-langkah berjaga akan sentiasa diambil.

“Laporan itu datang dari sebuah syarikat keselamatan siber swasta yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), tapi kita tidak boleh bertindak bersandarkan kepada hanya (laporan) sedemikian.

“Setakat ini tiada laporan rasmi diterima tapi akan siasat dan kita mempunyai agensi ditugaskan yang mempunyai kepakaran untuk menentukan kesahihan apa didakwa,” katanya lapor portal BH.

Hishammuddin terdahulu menghadiri majlis Pasca Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari di Wisma Perwira ATM hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan syarikat keselamatan siber AS dalam satu laporan mendakwa penggodam China yang disyaki mempunyai kaitan dengan republik itu dan menyasarkan organisasi sektor kerajaan dan swasta di seluruh Asia Tenggara terutama negara yang mengemukakan tuntutan ke atas Laut China Selatan.

Organisasi yang terjejas termasuk pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar di beberapa negara terutama Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, ditanya kemungkinan ancaman terbabit adalah cubaan mengganggu hubungan baik tiga negara berkenaan, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan itu dan geopolitik.

“Apa jua kenyataan daripada satu ‘super power’ akan dapat reaksi ‘super power’ yang lain dan negara kecil macam kita terpaksa berhadapan dengan tempiasnya.

“Namun, tugas saya sebagai Menteri Pertahanan adalah untuk melihat kepada keselamatan dan pertahanan kita secara realiti tidak untuk menari mengikut geopolitik dan pertimbangan pihak tertentu, jauh nak melayani syarikat swasta yang dengan sewenang-wenangnya menyatakan sesuatu,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR