Miliki wang haram: Kali kedua Syed Saddiq mengaku tidak bersalah

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas tuduhan berkaitan pengubahan wang haram sebanyak RM100,000, sekali lagi hari ini, mengaku tidak bersalah.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin, hari ini, selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Syed Saddiq dituduh memindahkan wang sejumlah RM100,000 daripada akaun Maybank ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya antara 16 Jun dan 19 Jun 2018, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram terbabit.

Bulan lalu, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen Johor Bahru bahawa mereka mahu memindahkan kes pengubahan wang haram itu memandangkan bakal saksinya adalah individu sama dengan kes pecah amanah yang turut dihadapi oleh Syed Saddiq.

Sebelum ini, Syed Saddiq juga menghadapi empat tuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna wang sumbangan dan pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi yang akan didengar pada 25 November depan.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Armada Bersatu yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Dia juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 April hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Pada 5 Ogos lalu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling Johor Bahru, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

BERITA BERKAIT
POPULAR