
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook, yang mendakwa beliau tidak mengamalkan penjarakan fizikal dalam satu sidang media baru-baru ini.
Menurut Radzi menerusi akaun Facebooknya beliau dimaklumkan mengenai satu hantaran Facebook yang tular bersama sekeping gambar yang menunjukkan seolah-olah tiada penjarakan fizikal.
Radzi memaklumkan setelah semakan dibuat, gambar yang ditularkan pemilik akaun bernama Yuseri Yusoff itu didapati palsu.
Menjelaskan tuduhan tersebut, Radzi berkata tidak ada individu berada disebelahnya semasa sidang media di Sekolah Menengan Sains Dungun pada 3 Oktober lalu.
“Seingat saya, selain Ahli Parlimen Dungun, YB (Yang Berhormat) Tuan Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu YB Ustaz Hj Satiful Bahari Mamat, tiada sesiapa berada di sebelah ketika sidang media di SM (Sekolah Menengah) Sains Dungun pada 3 Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Radzi, individu yang membuat tuduhan itu juga menggunakan akaun Facebook palsu dan satu laporan polis juga sudah dibuat bagi mengenalpasti individu tidak bertanggungjawab yang membuat fitnah.
“Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu. Tindakan berniat jahat pemilik akaun tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab.
“Laporan polis telah pun dibuat,” katanya lagi.