Menteri MIC tak puas hati perarakan Thaipusam tak dibenarkan

Langkah kerajaan melarang perarakan sempena Thaipusam 2022 dibantah seorang Menteri MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Menteri Sumber Manusia itu menyifatkan larangan tersebut sebagai tidak wajar walhal penganjuran program kerajaan yang melibatkan kehadiran orang ramai tidak pula dilarang, malah membuat perbandingan semasa acara sambutan Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan semalam tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kalau hari ini (semalam) ada ribuan orang berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menghadiri sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dan tak ada penjarakan fizikal satu meter, semua ini tidak dipandang, tapi (pada masa sama) mereka menyasarkan sambutan Thaipusam.

“Saya akan berbincang dengan perdana menteri minta untuk untuk batalkan larangan ini serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan tersebut di Kuala Lumpur semalam menurut laporan Malaysiakini.

Larangan perarakan Thaipusam sebelum ini diputuskan Kementerian Perpaduan Negara untuk tidak membenarkan perarakan kereta pedati dan kavadi pada perayaan yang dijadual berlangsung tahun depan.

Saravanan juga mempersoalkan mengapa perlawanan bola sepak dan perayaan Krismas lalu boleh mendapat kelulusan tetapi tidak perarakan Thaipusam.

“Kamu lihat sendiri sambutan hari ini (100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia). Ini tidak dikawal, tapi perarakan pedati dikawal dengan membenarkan hanya orang terhad sahaja menghadiri.

“Kalau sambutan hari ini (semalam) boleh diadakan sudah pasti perayaan Thaipusam juga boleh diadakan. Saya akan bincang dengan PM untuk satu penyelesaian muktamad,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique memberitahu Dewan Rakyat, semua perarakan perayaan termasuk perarakan kavadi sempena Thaipusam bagi tahun depan tidak dibenarkan berikutan ancaman varian Omicron.

Katanya, selain Thaipusam, perarakan cingge juga tidak dibenarkan semasa Tahun Baru Cina, manakala SOP untuk perayaan Krismas akan dibincangkan pada mesyuarat 14 Dis nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR