Menteri, MAS nafi tapi pemandu tunjuk bukti penumpang India

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Malaysia Airlines Berhad menafikan pesawat MAS membawa penumpang dari India pada 1 hingga 3 Mei, kecuali kru penerbangan.

Pada masa sama Malaysia Airlines Berhad membuat laporan polis terhadap dua individu Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi dan Muhammad Fahmi Abdullah atas dakwaan yang tular di media sosial membabitkan pesawat MAS membawa penumpang dari India.

Penafian dan laporan polis itu dibuat susulan tular di media sosial dakwaan awal seorang pemandu yang diarah oleh syarikatnya mengambil penumpang dari India untuk dihantar ke sebuah hotel bagi menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas terbit penafian daripada Malaysia Airlines dan Wee, Muhammad Fahmi memuat naik status terbaharu sambil menunjukkan bukti dia diarah mengambil penumpang dari India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, hari ini.

Status terbaharu itu yang lengkap dengan nombor pasport menunjukkan penumpang warganegara India bernama Ajit Prasad perlu diambil di KLIA jam 7 pagi tadi dan dihantar ke Hotel Impiana KLCC.

Semakan Agenda Daily mendapati pesawat MH 191 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi jam 11.17 malam 2 Mei dan tiba jam 6.30 pagi 3 Mei di KLIA.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini Malaysia Airlines Bhd berkata penerbangannya dari India pada 1 hingga 3 Mei tidak membawa penumpang selain kru penerbangan yang kekal berada di dalam pesawat semasa transit.

“Penerbangan yang disediakan semasa tempoh itu dari India adalah penerbangan kargo sepenuhnya menggunakan pesawat penumpang-ke-kargo (P2C) Malaysia Airlines yang membawa barangan terdiri daripada barang farmaseutikal, bekalan ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” kata kenyataan itu.

Malaysia Airlines juga menyifatkan tuduhan itu bukan sahaja memudaratkan reputasinya tetapi juga ancaman kepada kredibiliti negara dalam mengawal penularan Covid-19.

“Oleh itu, syarikat penerbangan ini membuat laporan polis terhadap dua individu iaitu Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi dan Muhammad Fahmi Abdullah atas dakwaan salah mereka di media sosial,” jelasnya.

Malaysia Airlines mengulangi bahawa semua penerbangan oleh syarikat penerbangan itu adalah tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di negara berkenaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata hanya penerbangan kargo dari dan ke India sahaja yang dibenarkan memasuki Malaysia sejak 28 April lepas.

Mengulas dakwaan bahawa terdapat penerbangan Malaysia Airlines dari India dibenarkan memasuki Malaysia sehingga menjadi tular, Wee berkata penerbangan MH yang tular itu adalah penerbangan kargo sahaja.

Mengenai kes pekerja asing India dengan pas yang sah memasuki Malaysia, Wee berkata beliau telah menyemak perkara itu dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan mengesahkan kes itu berlaku ‘lebih awal’ iaitu pada 10 April.

BERITA BERKAIT
POPULAR