Menteri Kewangan nafi penipuan Najib kononnya hutang 1MDB belum dibayar

Dakwaan hutang prinsipal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih belum dibayar sehingga kini adalah tidak berasas memandangkan ia hanya akan matang antara tahun 2022 hingga 2039, jelas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah, menurut laporan Bernama.

“Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahukan penjelasan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa kerajaan belum membayar hutang 1MDB.

Menurut Tengku Zafrul, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Enegry Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.

Terdahulu, Najib semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat mendakwa tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Najib berkata pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

Untuk rekod, 1MDB mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM32 bilion setakat akhir Jun 2021, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Sejumlah RM12.8 bilion komitmen kewangan dan pembayaran hutang 1MDB telah dilunaskan kerajaan atau Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) menerusi pinjaman dan pendahuluan setakat September lepas, yang mencecah hampir RM10 bilion, selain penggunaan Akaun Amanah.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, baki terkumpul Akaun Amanah selepas mengambil kira pendapatan simpanan (hibah) adalah berjumlah RM15.3 bilion dan mampu membiayai obligasi 1MDB sehingga 2022.

Obligasi keseluruhan 1MDB berjumlah RM39.3 bilion merangkumi prinsipal sebanyak RM32.2 bilion dan faedah atau bayaran keuntungan atas pembiayaan (RM7.1 bilion).

1MDB ditubuhkan sebagai sebuah syarikat MKD pada 2009 bagi memacu pembangunan strategik negara, namun kebergantungan tinggi ke atas modal hutang serta tadbir urus korporat yang lemah menyebabkan syarikat tersebut mengalami masalah aliran tunai bermula akhir 2014 dan seterusnya memerlukan bantuan kerajaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR