Menteri dan MB bergaduh berebut jawatan yang jadi mangsa rakyat: Wan Saiful

Pergaduhan sesama Menteri dan Menteri Besar (MB) yang mendapat perhatian umum baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Penerangan Bersatu itu tidak merujuk kepada individu tertentu dalam tegurannya itu, namun umum mengetahui baru-baru ini timbul isu perebutan jawatan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri antara MB Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar.

“Agak-agak, rakyat peduli ke siapa Pengerusi?

“Apa faedah berebut jawatan kalau masalah rakyat masih belum selesai? Cuba ambil contoh daripada sebegitu banyak NGO dan orang awam yang berterusan membantu rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Selasa lalu, Menteri Besar Selangor menyatakan beliau akan kembali semula mempengerusikan MKN Selangor mulai Rabu.

Keesokkannya, Noh pula menjelaskan bahawa beliau masih lagi Pengerusi MKN Selangor.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menafikan dakwaan Amirudin bahawa jawatan Pengerusi MKN sudah bertukar tangan.

Beliau mendakwa, apa yang dilakukan oleh Amirudin adalah cubaan untuk lepas tangan daripada tanggungjawab yang sebenarnya.

Wan Saiful berkata, sepanjang beliau terbabit membersihkan rumah mangsa banjir beliau lihat sendiri kumpulan sukarela membantu manga banjir seperti team Ustaz Ebit Liew, team dari Naelofar, team dari Dana Kita, Unit Amal PAS, Skuad Prihatin BERSATU, sukarelawan parti MUDA, persatuan penduduk, dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus lumus bekerja.

“Tak ada seorang pun dalam kalangan kami bertelagah siapa nak menjadi ketua. Kita semua saling bantu membantu untuk buat kerja. Yang penting, ada beribu-ribu rumah perlu dibersihkan segera. Itu tumpuan kita.

“Dalam waktu begini, saya nasihatkan orang politik yang bawa “perangai lama” ni supaya sudah sudah lah. Lagi kamu tunjuk perangai, lagi rakyat marah.

“Dan disebabkan kamu tamak berebut jawatan, habis semua orang politik tercemar sama. Padahal yang perangai buruk kamu saja. Kami yang lain ni nak buat khidmat, tapi terpalit sebab perangai kamu,” katanya.

Beliau mengajak semua pihak bermuafakat kerana rakyat mengharapkan yang terbaik daripada ahli olitik.

“Jangan disebabkan “perangai lama” kamu, nama semua orang rosak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bermuafakatlah. Rakyat mahu kita buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR