Menteri agama tegur ‘babak panas’ drama Zul Ariffin, akan tayang pada Ramadan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad menegur ‘babak panas’ sebuah drama Melayu yang beliau lihat sebagai melampaui batasan Islam.

Malah, katanya drama berkenaan akan ditayangkan pula pada bulan Ramadan yang ditungu-tunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar takwa.

“Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur.

“Hiburan tidak dihalang dalam Islam.

“Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat,” katanya setelah tular pelakon, Zul Ariffin mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video memaparkan beberapa ‘babak panas’ dalam drama terbaharu lakonannya ‘Perempuan Itu’ di Instagram, hari ini.

Idris yang juga Naib Presiden PAS berkata industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin beliau halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, beliau tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan, untuk bersiap menghadapi Ramadan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

“Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan. Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela. Moga Allah terus memimpin kita,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR