Menghendap satu jenayah

Kerajaan memberi komitmen untuk menjadikan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah di Malaysia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata kertas dasar dan cadangan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Disember depan sebelum dibawa ke Parlimen sekiranya diluluskan.

“Usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak tahun 2019 di mana satu Jawatankuasa ‘Anti-Stalking’ telah ditubuhkan.

“Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan NGO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengadakan mesyuarat di Parlimen bagi membincangkan status mengenai usaha menjadikan menghendap ataupun ‘stalking’, sebagai satu jenayah, semalam.

Mesyuarat ini dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil dari pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan ahli-ahli akademik.

Dalam mesyuarat ini, tiga mangsa hendap telah berkongsi pengalaman mereka dan masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

Mas Ermieyati berkata, WAO juga telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini yang menggesa kerajaan menjadikan menghendap sebagai satu jenayah.

BERITA BERKAIT
POPULAR